Kumpulan Utusan rancang perbanyak CSR semua kaum - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Kumpulan Utusan rancang perbanyak CSR semua kaum

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Kumpulan Utusan merancang memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan pelbagai kaum yang kini menjadi keutamaan syarikat akhbar itu dalam usaha membantu kerajaan mengekalkan suasana muhibah di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, Kumpulan Utusan telah merangka pelbagai program yang memerlukan penyertaan semua kaum dengan objektif memperjuangkan perpaduan ke arah kehidupan masyarakat majmuk serta harmoni.

Merujuk kepada penglibatan dalam program CSR anjuran Persatuan Pemuja-Pemuja Buddha Yuen Leong sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, katanya, beliau gembira kerana usaha tersebut mendapat kerjasama yang baik.

“Utusan merancang untuk perbanyakkan lagi program CSR yang meliputi pelbagai kaum. Adalah hasrat kita untuk menjadikan Utusan Malaysia ini untuk tatapan pelbagai lapisan masyarakat.

“Sejak penubuhannya pada 1938, Utusan telah bersama sama berjuang dalam pencapaian kemerdekaan negara dan terus menjadi satu tonggak mempertahankan kedaulatan kemerdekaan dan perlembagaannya. Dalam memastikan semangat kemerdekaan sentiasa disanjung, negara memerlukan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Ini adalah janji kita kepada umum, kita akan terus komited mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang kaum atau pegangan agama menerusi program-program CSR. Kita adalah 1Malaysia, sentimen perkauman hanya retorik dan mainan segelintir kumpulan,” katanya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; Pengarah Urusan dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh dan penganjur bersama, A. Vasudevan.

Persatuan Pemuja-Pemuja Buddha Yuen Leong yang terletak di Kepong, bertindak sebagai badan amal yang menyumbang serta menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, latar belakang dan peringkat usia.

Majlis sambutan Tahun Baharu Cina itu diikuti dengan jamuan makan malam amal yang diadakan pada hari kesembilan perayaan tersebut.

Pada tahun ini, sebanyak RM127,322 diagih-agihkan kepada pelbagai pihak termasuk sekolah, rumah-rumah kebajikan, rumah ibadat dan orang perseorangan yang memerlukan dan penghidap penyakit kronik.

Pada masa sama, sebanyak RM64,639 lagi berjaya dikutip hasil sumbangan amal dari pihak yang hadir memeriahkan majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemuja-Pemuja Buddha Yuen Leong, Loke Seng berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama serta komitmen yang ditunjukkan Kumpulan Utusan.

“Saya berasa sangat gembira. Persatuan ini juga sebenarnya untuk semua dan bukan hanya untuk penganut Buddha sahaja. Kita menyumbang kepada golongan yang memerlukan tanpa kira kaum dan latar belakang agama.

“Pada malam ini sahaja, kami telah menderma puluhan ribu ringgit untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan akan terus melakukan pada masa hadapan,” katanya.

Siew Keong ketika berucap di hadapan lebih 6,000 orang pada majlis tersebut menggesa semua pihak menolak politik perkauman sebaliknya hidup dalam keadaan harmoni.

“Segelintir pihak akan menggunakan peluang seperti ini untuk memporak-perandakan situasi, sebenarnya kita sememangnya hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Segelintir ahli politik akan menggunakan peluang seperti ini untuk memecahbelahkan kita, kita tidak patut biarkan semua ini berlaku. Dalam mengejar kuasa politik, kita tidak boleh membuang nilai-nilai dan prinsip kita yang cintakan negara ini,” tegasnya.



Source: 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan