Industri Digesa Manfaat Teknologi Baru Semasa Kelembapan Ekonomi - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Industri Digesa Manfaat Teknologi Baru Semasa Kelembapan Ekonomi

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Industri di Sabah digesa memanfatkan penggunaan teknologi baru untuk mara dalam mendepani kelembapan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata ini bukan sahaja perlu dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global, tetapi juga dalam memenuhi matlamat Wawasan 2020 ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

"Perniagaan tidak lagi seperti biasa. Kita perlu mencari jalan untuk membina industri kita, terutama sektor pelancongan dan pembuatan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di sini hari Sabtu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong hadir pada majlis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Tan, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan pelan tindakan biomass di Sabah dan Sarawak di Kuala Lumpur minggu depan.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan memberi faedah kepada industri kelapa sawit di Sabah kerana negeri itu menghasilkan kira-kira 30 juta tan biomas setiap tahun.

Mengenai dasar kabotaj, beliau gembira Persekutuan Pengeluar-pengeluar Sabah (FSM) tidak lagi mempersoalkannya, malah akan mendapatkan perhatian kerajaan dalam meliberalisasikan aktiviti eksport di negeri ini.

FSM telah meminta dasar kabotaj dimansuhkan, dengan mendakwa ia menyumbang kepada harga barangan yang tinggi di Sabah.

Dasar itu yang memerlukan semua pindah kapal domestik barangan dilakukan dengan menggunakan kapal-kapal Malaysia, dikatakan telah menyumbang kepada kenaikan kos penghantaran dan menjadikan kos barangan lebih tinggi di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA



Source: 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan