Kerajaan DAP rahsia projek tambak laut?

PULAU PINANG 19 Dis. - Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak memperjelaskan ba­gaimana kelulusan menambak laut seluas kira-kira 10 hektar di Bayan Bay di sini, boleh diluluskan tanpa dibawa kepada pengetahuan penduduk negeri ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) ne­geri, Teng Chang Yeow ber­kata, projek itu sudah diluluskan pada Ogos 2013 tetapi hanya didedahkan kepada umum dalam sidang Dewan Undangan Ne­geri (DUN) November lalu.

Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada projek tambak laut itu dibuat menerusi tender terbuka atau sebaliknya memandangkan tiada pengumuman awal dibuat kerajaan negeri.

“Kita tertanya-tanya mengapa Kerajaan DAP Pulau Pinang me­rahsiakan projek ini daripada orang ramai sedangkan sudah diluluskan lebih dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam sidang DUN baru-baru ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa, tebus guna tanah di Bayan Bay itu dilaksana Tetuan Ideal Gim Ventures Sdn. Bhd. (IGVSD) bagi tujuan pembinaan 2,100 unit perumahan di atas tanah seluas 4.8 hektar.

Selain itu, projek tersebut juga membabitkan 4.6 hektar tanah sebagai rizab kerajaan manakala 0.8 hektar lagi untuk kegunaan infrastruktur.

Dalam masa sama, Chang Yeow turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan sewenang-wenangnya memberikan kelulusan kepada IGVSD untuk menambah keluasan tambak laut daripada perancangan asal.

Menurutnya, pada Ogos 2013, syarikat itu hanya diluluskan untuk menambak 5.3 hektar laut sebelum memohon tambahan kira-kira 0.4 hektar lagi yang diluluskan pada Julai 2014.

Lebih mengejut­kan, kata beliau, Ja­wa­­tankuasa Peranca­ngan Negeri yang di­­pengerusikan Guan Eng sendiri hanya memerlukan masa tiga bulan bagi meluluskan kebenaran merancang projek tersebut.

“Ini merupakan kelulusan yang cukup pantas dan membuatkan banyak pihak tertanya-tanya mengapa syarikat itu seolah-olah mendapat keistimewaan serta kelebih­an daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kesal kerana perjanjian tambak laut itu memperlihatkan seolah-olah Kerajaan DAP Pulau Pinang mem­belakangkan prinsip Cekap, Ama­nah dan Telus (CAT) yang sering dilaungkan selama ini.

Malah, katanya, tindakan itu juga tidak memperlihatkan hakikat kononnya Kerajaan DAP Pulau Pinang mengadakan proses tender terbuka bagi setiap projek seperti yang sering disebut sebelum ini.

 

 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan