Pagar kereta api hilang

TAIPING – Penduduk yang tinggal di kawasan laluan kereta api berhampiran Kampung Benggali, di sini, melahirkan rasa bimbang apabila pagar yang dibina untuk keselamatan dicuri pihak tidak bertanggungjawab, sejak seminggu lalu.

Penduduk, Wong Ah Heng, 56, berkata, tindakan mencuri pagar sejauh 300 meter di laluan kereta api itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh membahayakan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terutama kanak-kanak.

Menurutnya, penduduk mula bimbang apabila pagar besi berkenaan sudah tiada dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku akibat masalah tersebut.

“Masalah ini adalah sesuatu yang serius dan tindakan perlu segera diambil kerana ramai penduduk di sini bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ah Heng berkata, aktiviti mencuri pagar besi itu mungkin dilakukan pada waktu malam kerana rata-rata penduduk di sini tidak tahu mengenai kejadian itu.

“Kami hanya mengetahuinya apabila melihat pagar-pagar besi ini sudah tidak ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Ah Heng berkata, mungkin pihak yang bertanggungjawab dapat melakukan pemantauan yang lebih kerap bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Permantauan perlu dilakukan  kerana kejadian kecurian itu turut menyebabkan kerugian kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Gerakan, Soo Kay Peng berkata, kejadian berkenaan adalah sesuatu yang serius kerana jumlah pagar dicuri terlalu banyak.

“Pada masa yang sama, saya akan memanjangkan masalah tersebut kepada pihak KTMB agar tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

“Selain itu, kerjasama penduduk diperlukan dengan melaporkan kepada polis jika melihat sesuatu mencurigakan dalam usaha membendung masalah kecurian seperti ini,” katanya.




Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pagar-kereta-api-hilang-1.412831

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan