Janji Guan Eng mahu jaga Permatang Pauh diragui - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Janji Guan Eng mahu jaga Permatang Pauh diragui

BUKIT MERTAJAM: "Bagaimana mahu jaga Permatang Pauh, jika Penanti pun Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tak boleh uruskan," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

  Chang Yeow berkata, janji Guan Eng mahu menjaga Parlimen Permatang Pauh sekiranya calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, menang diragui kerana kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah di Penanti.

Penanti yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR, Dr Norlela Ariffin, adalah satu daripada tiga Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh.

"Saya rasa Ketua Menteri sendiri tak tahu di mana Penanti, sekarang dia berjanji kepada orang ramai mahu jaga Permatang Pauh pula.

  "Dr Norlela sebenarnya ambil alih masalah (yang ditinggalkan) Datuk Mansor Othman (bekas ADUN Penanti) dan berusaha menyelesaikan masalah tetapi gagal mendapat sokongan Guan Eng pula," katanya pada sidang media di Pusat Operasi BN di sini.

Semalam, media mendedahkan kekecewaan Dr Norlela apabila usulnya mengenai kegiatan tiga kilang haram di Tanah Liat yang menyebabkan pencemaran dan kegiatan penerokaan tanah di Sungai Lembu ditolak Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

  Akibatnya, penduduk di kawasan itu berhadapan masalah pencemaran teruk apabila sisa kilang dilepaskan ke parit, manakala penerokaan tanah menyebabkan banjir kilat di kawasan itu.

   Sementara itu, Guan Eng mengelak untuk memberi ulasan mengenai kekecewaan Dr Norlela mengenai isu berkenaan.

Beliau meminta soalan itu diajukan kepada Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

   "Awak bertanyakan dengan orang yang salah. Awak sepatutnya bertanya kepada Speaker DUN. Beliau yang membuat keputusan. Kamu bertanyakan usul DUN dan sepatutnya tanya beliau," katanya.



Source: 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan