Waspada kendali gas memasak

SEGAMAT - Pengusaha kedai makan di daerah ini dinasihatkan lebih berwaspada mengendalikan gas memasak bagi mengelakkan insiden kebakaran seperti yang berlaku di pekan Simpang Jabi, baru-baru ini, daripada berulang.

Adun Pemanis, Lau Chin Hoon berkata, siasatan awal bomba mendapati punca kebakaran yang meranapkan 11 kedai kayu di kawasan berkenaan disebabkan kebocoran gas di sebuah kedai makan.

“Semua pengusaha kedai makan di daerah ini perlu memeriksa saluran gas memasak mereka sekurang-kurangnya dua tahun sekali, manakala kepala gas perlu ditukar setiap tiga tahun sekali.

“Pemeriksaan sendiri juga boleh dilakukan menggunakan air sabun untuk mengesan kebocoran dalam masa singkat. Jika pemeriksaan tersebut mendapati salur gas retak dan merekah, terus tukar baharu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan membantu membangunkan semula kawasan tersebut supaya proses pembangunan dan kegiatan harian penduduk setempat dapat beroperasi seperti biasa.

Tambahnya, pihaknya turut mendapat maklumat kebanyakan kedai di kawasan itu masih menggunakan pendawaian lama dan situasi ini amat merbahaya kerana boleh menyebabkan litar pintas.

“Kebakaran ini tragedi terbesar dan meninggalkan kesan di Dun Pemanis untuk tahun ini kerana melibatkan kerosakan dan kerugian ratusan ribu ringgit. Kedai yang diperbuat daripada kayu menyebabkan keseluruhan bangunan ini musnah,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas melakukan lawatan dan menemui 11 peniaga yang kedainya terbakar pada Sabtu lalu di pekan Simpang Jabi, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat; Penghulu Mukim Jabi, Ibrahim Mohd Salleh dan Ketua Kampung Kadut, Mohd Ali Hishamuddin Hassan.




Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan