Wanita Gerakan komited tolak hudud PAS Kelantan - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Wanita Gerakan komited tolak hudud PAS Kelantan

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe menempelak pimpinan DAP kerana terus membisu berhubung pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.

Menurutnya, DAP pada hari ini bukanlah seperti mana parti sewaktu di bawah kepimpinan bekas Pengerusinya, mendiang Karpal Singh.

Katanya, sewaktu di bawah pimpinan Karpal dahulu, DAP dengan lantang menolak 100 peratus pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

“Namun apa yang berlaku pada ketika ini jauh berlainan dan mereka dilihat lebih mementingkan isu lain berbanding dengan hudud.

“Sepatutnya DAP perlu bertanggungjawab dalam perkara ini kerana ia bukanlah perkara remeh kerana pelaksanaan hukum hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di sini hari ini.

Tambah Lian Hoe, beliau menyeru semua Ahli Parlimen tidak kira apa pun latar belakang mereka agar menolak pelaksanaan hukum berkenaan.

Jelasnya, mereka perlu menjaga kepentingan negara dan juga pengundi yang telah memberikan sokongan kepada mereka.

“Kita tidak mahu ada dua set sistem perundangan yang diamalkan di negara ini yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Negara sudah mempunyai undang-undang Mahkamah Sivil yang dilihat sudah mencukupi untuk melaksanakan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya akan mengemukakan 15 senarai nama calon daripada sayap berkenaan kepada Presidennya, Datuk Mah Siew Keong.

Katanya, semua senarai calon tersebut merupakan mereka yang dirasakan sesuai untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

“Mereka yang dipilih terdiri daripada muka lama dan juga muka baru dan ia akan diserahkan pada minggu hadapan,” tegasnya.



Source: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/21/wanita-gerakan-komited-tolak-hudud-pas-kelantan/#ixzz3VAd7aNQG

 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan