Pusat pelupusan sampah terbakar lagi - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Pusat pelupusan sampah terbakar lagi

KLUANG - Bukan insiden pertama sebaliknya sudah puluhan kali kejadian serupa berulang.

Malam kelmarin, sekali lagi pusat pelupusan sampah di pekan Renggam, di sini, terbakar dipercayai berpunca daripada fenomena cuaca panas yang sedang berlaku.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu, semakin merebak menyebabkan kerja pembuangan sampah di pusat tersebut terpaksa dihentikan dan dialih ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong, mulai semalam.

Tambah menyulitkan keadaan apabila pihak berkaitan seperti pasukan bomba dan penyelamat serta SWM Environment Sdn Bhd mengalami kesukaran memadamkan kebakaran besar itu kerana ketiadaan sumber bekalan air berhampiran.

Apa yang dikesalkan, selepas lebih 12 jam insiden tersebut berlaku, tiada tindakan segera diambil pihak yang bertanggungjawab terhadap pusat pelupusan sampah berkenaan.  

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng berkata, asap yang terhasil boleh menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Jadi, saya gesa pihak bertanggungjawab melakukan tindakan segera bagi membendung kejadian ini daripada terus berulang selain mempercepat pembinaan tapak pelupusan sanitari baharu berhampiran pusat pelupusan sampah ini,” katanya katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pusat pelupusan sampah itu sepatutnya sudah lama ditutup selepas lebih 10 tahun beroperasi dan digantikan dengan tapak pelupusan sanitari yang telah diluluskan, namun pembinaannya masih tergendala tanpa sebab kukuh.  

Tegasnya, pihak berkaitan perlu memandang keperluan pembinaan pusat pelupusan sampah baharu sebagai keutamaan kerana tidak mahu lokasi sedia ada terus menjadi punca utama pencemaran udara dan persekitaran pada masa akan datang.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Mohamad Adam berkata, pihaknya terpaksa berulang-alik mengambil air dari luar pusat pelupusan sampah tersebut kerana tiada punca sumber itu di kawasan berhampiran.  

Menurutnya, sampah yang ada setinggi lebih kurang 20 kaki dengan keluasan sekitar 500 kaki persegi.

“Keadaan ini amat sukar kerana api terlalu besar dan asap tebal. Apa yang boleh dilakukan hanyalah mengawal api daripada merebak.    
        
“Tempoh masa kebakaran ini dapat dipadam sepenuhnya tidak dapat dijangka. Ia akan lebih cepat jika hujan,” katanya.

Manakala, Pengurus Wilayah Johor Utara, SWM Environment Sdn Bhd, Hisham Hussin berkata, pihaknya menyediakan tiga jentera dengan 14 anggota dari Kluang, Simpang Renggam dan Batu Pahat untuk membantu memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah tersebut.



Source: 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan