DAP dikritik kerana gagal jelaskan hudud kepada kaum Cina

PULAU PINANG  – Gerakan Pulau Pinang mengkritik pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng kerana gagal menjelaskan kepada masyarakat Cina mengenai pelaksanaan undang-undang hudud Pas di Kelantan.

Setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Keong menyifatkan kedua-dua pemimpin DAP itu bermain ‘tai chi’ dan tidak memberitahu rakyat mengenai pelan tindakan mereka untuk menyelesaikan isu hudud.

‘‘Jika kedua-dua mereka, Kit Siang dan Guan Eng tidak bolah menyelesaikan krisis mengenai pelaksanaan hudud, beritahu rakyat,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau kecewa kerana Kit Siang tidak mengendalikan isu pelaksanaan hudud tersebut dengan baik sebaliknya sibuk mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berdebat.

‘‘Mungkin Kit Siang mendapati tidak ada kepentingan politik untuk menyelesaikan isu hudud, jadi dia sengaja mengalihkan perhatian dan meminta berdebat dengan Dr. Mahathir. Apakah gunanya berdebat sekarang, apabila Pas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

‘‘Kurang daripada seminggu untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bersidang (29 Disember ini) meluluskan pelaksanaan hudud di negeri itu,’’ katanya.

Tong Keong berkata, DAP perlu menyelesaikan krisis mengenai hudud kerana masyarakat Cina sangat gugup dan bimbang dengan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut. - UTUSAN



Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan