Parti komponen hormati keputusan Najib

SHAH ALAM – Walaupun terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu,  namun pemimpin parti komponen BN tetap menghormati keputusan itu.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata,  meraka tidak diberitahu secara rasmi mengenai keputusan untuk mengekalkan akta berkenaan.

“Setahu saya sebagai ketua pemuda, tidak pernah dimaklumkan atau membincangkan mengenai pengekalan Akta Hasutan itu sebelum ia diumumkan.

“Namun setiap parti sememangnya mempunyai keputusan dan pendirian masing-masing dalam perhimpunan parti. Kami menyokong keputusan itu dan hormatinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, sebaiknya sebarang keputusan berkaitan dasar kerajaan, perlu dilakukan di Kabinet setelah mendapat persetujuan bersama.

“Ia kerana, sebelum ini, Akta Hasutan 1948 mendapat kelulusan Kabinet. Justeru itu, apa sahaja perkara berbangkit mengenai akta itu perlu dibuat berdasarkan keputusan Kabinet.

“MCA menerima apa sahaja pendapat dan keputusan dibuat dalam setiap perhimpunan parti masing-masing,” katanya.

Menurutnya, jangan lihat MIC dan MCA sebagai parti yang lemah tetapi sebagai satu barisan dalam perjuangan BN.

“Oleh itu, perbincangan antara komponen penting bagi mendapatkan pandangan lebih luas tujuan akta itu dikekalkan. Sama ada untuk kepentingan semua kaum atau perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, keputusan pengekalan itu sememangnya tidak diketahui terlebih dahulu oleh parti itu.

“Namun saya tidak pasti, jika Presiden, Datuk Mah Siew Keong telah dimaklumkan tsecara rasmi mengenai perkara ini sebelum Perdana Menteri mengumumkannya.

“Pada masa sama, kami sebagai Pemuda Gerakan sentiasa menyokong penambahbaikan Akta Hasutan itu untuk melindungi agama Islam dan agama lain serta menghalang hasutan memisahkan Sabah, Sarawak dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada awalnya mereka merasakan akta itu perlu dimansuhkan kerana banyak perkara perlu dipinda.

“Apabila, Perdana Menteri mengumumkan pengekalan itu, kami terima dan percaya masih punyai masa untuk dibincangkan agar penambahbaikan lain boleh dilakukan.

“Sehubungan itu, keputusan muktamad untuk terus kekalkan akta itu perlu dibawa berbincang ke Kabinet terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan semua pemimpin,” katanya.




Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan