Gerakan kecam kenyataan prejudis perwakilan UMNO - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Gerakan kecam kenyataan prejudis perwakilan UMNO

KUALA LUMPUR, 29 November:

Gerakan mungkin antara parti bukan Melayu terawal tampil dengan kenyataan rasmi mengutuk beberapa perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 yang menunjukkan sikap prejudis dan cuba mendiskriminasi kaum Cina di negara ini.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, Presiden parti itu, Datuk Mah Siew Keong menujukan kecaman khususnya terhadap Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Dato’ Mohd Zaid Said serta perwakilan UMNO Perak, Datuk Mohd Radzi Manan.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Mohd Zaid yang mengaitkan kekayaan dan penguasaan ekonomi kaum Cina di Pulau Pinang dengan pembabitan dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang, Mah berkata, Zaid tidak sepatutnya meremehkan hakikat bahawa ramai kalangan mereka yang bekerja keras untuk meraih kesenangan hanya kerana pandangan streotaip beliau.

“Kata-kata Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh iitu adalah tidak berasas dan semata-mata dibuat daripada persepsi peribadinya,” tegas Mah dalam kenyataan empat perenggan beliau, Sabtu.

Ahli Parlimen BN Teluk Intan itu juga tidak bersetuju dengan perwakilan UMNO Perak Mohd Radzi yang mencadangkan BN agar berhenti berusaha untuk memenangi hati dan meraih sokongan kaum Cina kerana menganggapnya sia-sia.

Kata Mah, masyarakat Cina masih menyokong BN jika polisi parti menghasilkan persepsi yang baik dan perkara itu terbukti melalui peningkatan angka sokongan kaum Cina dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

“Gerakan sentiasa menjadi pihak yang menyokong kesederhanaan dan keterangkuman antara pelbagai kaum yang berbeza di Malaysia.

“Kita perlu berhenti mengamalkan politik perkauman memandangkan pembangunan negara memerlukan pembabitan semua kaum.

“Akhir sekali, saya menyeru semua pemimpin (politik) dan kerajaan untuk memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua kaum, selain mengambil sikap lebih berhati-hati dan sensitif dalam menyampaikan ucapan agar tidak menyinggung perasaan atau menyakitkan hati mana-mana kaum lain,” seru Mah menutup kenyataan beliau.




Source: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/29/gerakan-kecam-kenyataan-prejudis-perwakilan-umno/

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan