UMNO BAHAS PENDIDIKAN CINA?

AKHBAR China Press bertarikh 18 November 2014 menyiarkan artikel mengena ura-ura Perhimpunan Agung UMNO pada minggu depan akan membahaskan isu masa depan pendidikan sekolah Cina di negara ini.

Artikel bertajuk ‘Alu-alukan perhimpunan UMNO bahaskan pendidikan Cina’ yang ditulis oleh Lai Shao Kwang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina melihat langkah membahaskan isu pendidikan sekolah aliran itu sebagai satu mimpi ngeri manakala pejuang pendidikan sekolah Cina pula berpendapat tindakan berkenaan tidak semestinya akan memberikan kesan buruk.

Naib Presiden Gerakan, Prof. Dr. Dominic Lau Hoe Chai beranggapan, perhimpunan UMNO tidak sepatutnya menjadi platform untuk membahaskan isu pendidikan sekolah Cina sama seperti perhimpunan parti Cina tidak boleh membahaskan soal kedudukan orang Melayu.

Sebenarnya jika perhimpunan UMNO mahu membahaskan soal kedudukan pendidikan sekolah Cina, ia tidak perlu mendapat persetujuan daripada parti mewakili kaum itu dalam BN dan tidak semestinya menghormati pendapat pemimpin Gerakan.

Ini kerana seperti anggapan sebilangan pemimpin UMNO; MCA dan Gerakan adalah satu beban kepada parti itu dan dua parti komponen berkenaan tidak mewakili suara masyarakat Cina.

UMNO mahu membahaskan kedudukan pendidikan sekolah Cina. Adakah perwakilan pada perhimpunan itu benar-benar faham isu paling asas membabitkan pendidikan aliran berkenaan?

Jika tidak, sekiranya mereka masih mahu membahaskan soal pendidikan sekolah Cina, Hoe Chai sepatutnya menghadi­ri perhimpunan UMNO dan mengambil kesempatan berucap bagi menerangkan apakah jasa yang telah disumbang oleh pendidikan sekolah Cina.

Kita berharap ucapan itu akan membolehkan perwakilan UMNO memahami kepentingan pendidikan sekolah Cina dan beralih untuk memberi sokongan kepada sekolah aliran itu.

Kepada Pertubuhan Per­sekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), janganlah asyik bersengketa di peringkat dalaman.

Lebih baik mereka segera mencetak risalah memaparkan 100 alasan kenapa pendidikan sekolah Cina menepati konsep 1Malaysia untuk diedarkan kepada perwakilan UMNO supaya mereka mendapat maklumat sebenar mengenai manfaat pendidikan aliran berkenaan.

Kepada orang yang menganggap langkah perhimpunan UMNO membahaskan masa depan pendidikan sekolah Cina akan menyebabkan aliran itu terus dipinggirkan adalah pandangan yang negatif.

Kita mesti ingat, masih ada pemimpin UMNO seperti bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyokong sekolah aliran itu termasuk pernah membuat cadangan supaya kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan sekolah menengah Cina.

Jika pemimpin seperti beliau berani tampil berhujah dengan rakan-rakan mereka yang sering menghina pendidikan Cina, kita sudah pasti akan melihat sesi perbahasan yang menyeronokkan ketika perhimpunan UMNO.

Oleh kerana Datuk Seri Najib Tun Razak telah secara terbuka menyatakan pendidikan sekolah Cina dijamin oleh Perlembagaan negara, maka kita kena lihat juga bagaimana Presiden UMNO itu menggulung perbahasan berkenaan.

JANGAN SALAHKAN ORANG CINA

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 13 November 2014 menyiarkan artikel yang mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abd. Rahim Bakri baru-baru ini bahawa kaum Cina tidak berminat menyertai jawatan berpakaian seragam, pegawai kerajaan dan sebagai guru.

Artikel yang ditulis oleh Loh Han Chew bertajuk ‘Orang Cina lagi yang tidak berminat’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3.

Orang Cina yang mendengar kenyataan Timbalan Menteri itu tertanya-tanya kenapa perkara sedemikian boleh berlaku? Ini kerana di China, Hong Kong dan Taiwan, kaum berkenaan tidak pula menolak untuk bertugas sebagai kakitangan kerajaan, polis dan tentera.

Di negara berkenaan, pemandu bas, pekerja kereta api, pembantu kedai, posmen dan pekerja pembersihan semuanya terdiri daripada kalangan kaum itu. Orang Cina tidak pernah menolak sebarang pekerjaan. Sebenarnya pekerjaan di Malaysia sendiri yang menolak kaum itu.

Penulis tidak bersetuju dengan pendapat Abd. Rahim bahawa kaum Cina tempatan tidak serupa dengan orang China di luar negara kerana kaum itu di Malaysia tidak suka dengan sektor pekerjaan yang ada kaitan dengan disiplin, sebaliknya hanya berminat menjadi tauke.

Antara faktor orang Cina kurang berminat kerana kaum itu kurang peluang untuk naik pangkat. Itu diakui sendiri oleh bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Brigedier Jeneral (B) Datuk Goh Seng Toh ketika ditemu ramah sebuah akhbar Cina pada 2006.

Beliau mendedahkan ketika menyertai TUDM pada 1965, nisbah orang Cina dalam pasukan itu adalah antara 60 hingga 70 peratus dan selepas 2000, nisbah itu turun mendadak menjadi antara lima hingga 10 peratus.

Menurut Seng Toh, sejak kerajaan melaksanakan dasar menyusun semula masyarakat, amat sukar untuk orang Cina menyertai pasukan beruniform khususnya tentera dan polis.

Peluang naik pangkat juga tidak banyak kerana sekurang-kurangnya 80 peratus jawatan tinggi dalam kerajaan disediakan untuk orang Melayu.

Dakwaan orang Cina tidak berminat menjadi tentera adalah tidak betul kerana berdasarkan sejarah semasa askar Jepun menyerang Tanah Melayu dan tentera British terpaksa berundur, tanggungjawab untuk menentang kemaraan tentera Jepun telah diserahkan kepada orang Cina.

Walaupun tidak menerima gaji, orang Cina sanggup menjadi tentera kerana sayangkan tanah air. Hari ini selepas negara kita merdeka, kenapa pula kata mereka tidak sanggup menjadi askar?

Hari ini terlalu kecil bilangan orang Cina dalam tentera, sama seperti sedikitnya kaum itu yang menjadi kakitangan kerajaan. Ini berlaku kerana ada sebab-sebab tertentu.

Sebenarnya, selepas merdeka pintu untuk orang Cina menjadi kakitangan kerajaan, tentera dan polis semakin sempit yang berpunca daripada perbuatan manusia.

Bukan kerana orang Cina tidak suka, sebaliknya disebabkan jabatan kerajaan dan pihak pemerintah sendiri tidak berminat dengan kaum itu.





Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan