300 penduduk gotong-royong banteras nyamuk aedes

TELUK INTAN 18 Nov. – Kira-kira 300 penduduk Taman Sri Manggis, Jalan Laksamana dekat sini bersama-sama menghadiri program gotong-royong bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes.

Program yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Taman Sri Manggis dengan kerjasama Kolej Komuniti Teluk Intan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Restoran Mastan dan Jabatan Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen kawasan ini, Datuk Dr. Mah Siew Keong.

Siew Keong berkata, kawasan ini berhadapan dengan masalah penularan wabak denggi yang serius.

Jadi, katanya, penganjuran program gotong-royong ini dipercayai mampu membantu memupuk kesedaran dalam kalangan penduduk setempat supaya menjaga kebersihan kawasan penempatan seterusnya mengelakkan pembiakan nyamuk aedes yang merupakan ejen pembawa denggi.

“Kes demam denggi di daerah ini memang serius. Ramai penduduk tempatan diserang denggi dan dimasukkan ke hospital kerana kawasan perumahan mereka tidak bersih serta dipenuhi semak-samun.

“Jadi, saya menggesa penduduk di kawasan ini supaya membersihkan rumah masing-masing supaya tidak menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes,“katanya ketika ditemui pada program gotong-royong berkenaan.

Mengulas lanjut, Siew Keong memberitahu, pihak MPTI juga perlu kerap meninjau serta membuat pemeriksaan terhadap rumah termasuk yang terbiar bagi mengelakkan menjadi sarang nyamuk aedes.

“Apa gunanya rumah kita cantik dan besar tetapi tidak besih dan menjadi tempat nyamuk aedes membiak,“jelas beliau.






Source: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/300-penduduk-gotong-royong-banteras-nyamuk-aedes-1.26249

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan