Gerakan mahu terus kekalkan momentum kemenangan presiden parti

IPOH 13 Julai - Parti Gerakan Perak telah memulakan rancangan serta strategi awal dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan Presidennya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Mei lalu.
 
 
Pemangku Pengerusi Gerakan negeri, Dr. Cheah Soon Hai berkata, parti itu mahu meneruskan momentum sedia ada untuk meningkatkan sokongan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14.
 
 
"Kami telah mengarahkan setiap bahagian untuk melaksanakan aktiviti mendekati rakyat. Kami mahu memastikan momentum positif ini berterusan.
 
 
"Kami juga telah melancarkan program 'Satu Ahli, Satu Undi' dalam usa­ha menarik lebih banyak sokongan terhadap parti dan Barisan Nasional (BN). Bukan bermaksud setiap ahli perlu mendapatkan hanya satu undi tetapi berusaha menarik lebih banyak pengundi," katanya.
 
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman jawatankuasa perhubungan parti yang baharu di Wisma Gerakan di sini hari ini.
 
 
Yang turut hadir Penasihat parti, Datuk Chang Ko Youn.
 
 
Pada PRK Teluk Intan 31 Mei lalu, Calon BN yang merupakan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan majoriti 238 undi sekali gus merampas kerusi Teluk Intan yang diduduki DAP selama dua penggal.
 
 
Dalam pada itu, Soon Hai menegaskan bahawa parti itu juga dalam usaha menambah keahlian.
 
 
Katanya, setakat ini, parti itu mempunyai kira-kira 30,000 ahli di seluruh negeri.
 

"Kami akan tambah ahli terutama dalam kalangan belia. Bagi merealisasikan hasrat ini, kami telah menambah dua cawangan baharu iaitu di Taman Bandar Baru, Kampar dan Taman Jasmin, Beruas," jelas beliau.

 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan