Kontroversi UMcedel: Saifuddin letak jawatan felo penyelidik kanan UM

Kontroversi perletakan jawatan Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel), Profesor Datuk Dr. Mohamad Redzuan Othman menimbulkan pelbagai reaksi sehingga menyebabkan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Mohamad Redzuan yang terkenal dengan keberaniannya melaksanakan kaji selidik bebas terhadap senario sebenar politik Malaysia dikatakan telah menerima arahan untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel, malah jawatan beliau sebagai dekan Fakulti Seni dan Sosial Sains di universiti itu juga tidak diperbaharui.

Biarpun dekan-dekan di UM dipilih oleh kakitangan akademik namun ianya masih tertakluk kepada kelulusan pengurusan universiti.

“Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti, saya meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM hari ini.

"Ia berkaitan kes yang menimpa Prof Redzuan,” kata Saifuddin di dalam twitternya hari ini.

Manakala Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pula mempersoalkan arahan yang diberikan kepada Mohammad Redzuan kerana profesor politik terkenal itu telah menunaikan tanggung jawabnya dengan baik apabila menyedarkan kelemahan Barisan Nasional semasa menghadapi pilihanraya yang lalu serta cara parti pemerintah itu menangani isu-isu hangat yang membabitkan rakyat dan negara.

“Beliau (Mohammad Redzuan) sepatutnya bersara tahun hadapan. Mengapa paksa beliau letak jawatan tahun ini?

"Jika bukan kerana kaji selidik UMcedel, BN masih lagi hidup dalam angan-angan. Sedarlah,” katanya di dalam laman twitter.

Mohammad Redzuan sering menerima tekanan dan kritikan apabila kaji selidik yang dijalankan UMcedel sering menyebelahi pihak pembangkang serta menggambarkan BN adalah sebuah parti yang tidak baik dan popular.

Malah UMcedel pernah meramalkan BN akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu bagaimanapun keputusan rasmi menyaksikan parti pemerintah sejak merdeka itu berjaya mempertahankan kejayaannya biarpun terpaksa berpuas hati dengan majoriti yang semakin berkurangan. -- MalaysiaGazette



Source: http://malaysiagazette.com/nasional/kontroversi-umcedel-saifuddin-letak-jawatan-felo-penyelidik-kanan-um#axzz36Ax2oqDp

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan