Kita debat tentang hudud di mahkamah, kata Keng Liang

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang  bertegas sekiranya PAS masih tetap melaksanakan hudud, maka perkara ini akan didebatkan di mahkamah.
 
 
“Pemuda Gerakan bersedia mempertahankan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan,” katanya di laman sosial Facebook-nya.
 
 
Beliau juga memberi respon tentang pelawaan PAS yang telah mencabar Gerakan untuk berdebat mengenai isu hukum hudud.
 
 
“Sebelum ini, pemimpin PAS juga telah beberapa kali ingin berdebat dengan saya berhubung perlaksanaan hudud.
 
 
“Contohnya pada tahun 2011, saya telah menerima cabaran dari Ketua Pemuda PAS untuk berdebat tentang isu ini. Selepas saya menyahut cabaran itu, debat tersebut tidak pernah berlangsung.”
 
 
Tambahnya, tidak ada lagi keperluan untuk beliau berdebat dengan PAS.
 
 
“Sebaliknya, adalah lebih baik PAS cuba memahami kenapa hukum hudud juga tidak diterima rakannya DAP.
 
 
“Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah seorang Menteri Besar yang beragama Islam pun tidak membentangkan niat untuk melaksanakan hukum hudud di Selangor. Pernahkah PAS bertanya kenapa?” soal Tan.
 
 
PAS dakwa Gerakan nyata secara umum
 
 
Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Mohamed Hanipa Maidin semalam, selain mencabar Gerakan untuk berdebat, turut mengatakan bahawa Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan.
 
 
“Namun, tidak dinyatakan peruntukan mana di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh PAS atau Kerajaan Kelantan,” kata Mohamed Hanipa.
 
 
Ahli Parlimen Sepang itu juga mempersoalkan mengapa Gerakan tidak bersifat konsisten dengan menentang undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
 
 
Sebagai jawapan, Tan memberitahu FMT bahawa Gerakan sememangnya menentang ISA.
 
 
Katanya, Pemuda Gerakan pada tahun 2009 telah berusaha menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar ISA dimansuhkan.
 
 
“PAS patut menyemak fakta mereka sebelum melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Mereka suka membuat andaian sebelum mengesahkan sesuatu,” katanya kepada FMT.
 
 

Gerakan pada 24 April lalu telah menghantar notis undang-undang kepada PAS berkenaan isu hudud.

 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan