Artis sokong tolak rasuah - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Artis sokong tolak rasuah

DEMI masa depan Malaysia yang lebih ‘sihat’ dan maju ke hadapan, artis-artis popular akan bersama-sama dalam acara yang sangat bermakna bagi melahirkan sokongan ke arah negara ‘bebas rasuah’, hujung minggu ini. Kempen Larian Hapuskan Rasuah akan dianjurkan pada Ahad, 20 April 2014 ini bertempat di Padang Merbok Kuala Lumpur. Bermula pukul 7.30 pagi, orang ramai dijemput hadir untuk turut serta dalam acara penuh kemeriahan ini.
 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri akan melancarkan acara berkenaan, seterusnya bersama-sama dalam acara larian sekitar 5 kilometer itu.
 
 
Menurut Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, acara sebegini wajar diberi sokongan penuh oleh semua pihak dan beliau begitu berbangga kerana ia berjaya mendapat perhatian golongan anak seni untuk turut serta secara sukarela.
 
 
“Artis-artis yang dibawakan oleh Karyawan ini akan bersama-sama dengan orang ramai serta pemimpin-pemimpin kita untuk menyertai larian ini. Ini adalah sebagai satu medium kalangan anak seni untuk menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan dalam kempen pembenterasan atau anti rasuah.
 
 
“Penyertaan kalangan anak seni ini adalah manifestasi besar kami untuk melihat negara kita menjadi negara lebih maju dan bebas daripada anasir-anasir negatif dari semasa ke semasa," kata Freddie.
 
 
Antara artis yang mengesahkan untuk turut serta dalam sesi larian amal ini ialah Erry Putra, Azza Elite, Watie Elite, Joey Exist, Roslan Shah, Ani Maiyuni, Fazli Zainal dan ramai lagi.
 
 
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur acara berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe, acara larian khas ini bertujuan mengajak rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum, agama, jantina dan peringkat umur untuk sama-sama memberi sokongan terhadap acara dengan tujuan cukup murni ini.
 
 
Selain itu, sektor awam dan swasta, NGO dan individu termasuk parti politik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang turut dipelawa untuk datang beramai-ramai bagi menyatakan ikrar " Hapuskan Rasuah, Jangan Beri, Jangan Terima" dalam larian tersebut.
 
 
“Rasuah akan tetap berlaku selagi adanya 'pemberi’ dan ‘penerima’. Justeru, Larian Hapuskan Rasuah merupakan tanggungjawab individu dalam melahirkan ikrar integriti masing-masing ke arah mewujudkan negara yang bebas rasuah.
 
 
“Kami menyeru semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, individu dan parti-parti politik dari pemerintah atau pembangkang tampil ke hadapan untuk tujuan menyatakan janji ‘menolak rasuah’ dalam masyarakat kita sendiri.
 
 
“Kami percaya bahawa integriti bermula dengan setiap individu. Apa yang diharapkan ialah larian ini akan memupuk kesedaran kepada orang ramai supaya jangan beri dan jangan ambil rasuah," kata Tan lagi.
 
 
Bagi pelakon Erry Putra, menyertai acara sebegini adalah sesuatu yang jarang dilepaskan olehnya, memandangkan ia adalah sebagai satu kempen terbaik untuk memberi kesedaran kepada orang ramai ke arah lebih positif.
 
 
“Datang, sertai dan rasakan sendiri detik-detik penting ini. Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, kita sokong pelbagai usaha untuk menjadikan negara kita ke arah lebih baik pada masa depan, termasuklah dalam soal pembenterasan jenayah kolar putih seperti rasuah ini," katanya yang turut akan menghiburkan pengunjung yang hadir ke acara itu.
 
 
Bagi pelakon Azzarima Zawari pula, dia tidak menolak peluang yang datang ini bersama pemimpin negara untuk sama-sama menyatakan sokongan kepada usaha yang dilakukan penganjur.
 
 

“Kita tunjukkan kepada semua bahawa, di Malaysia, kita menolak rasuah. Ini acara yang amat penting untuk rakyat Malaysia menyatakan sokongan mereka dalam menolak jenayah rasuah. Kita tidak mahu terus membiarkan ia berleluasa kerana rasuah perlu dibanteras," kata Azza.

 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan