Negara tidak akan maju jika ramai berfikir macam Ibrahim Ali

PETALING JAYA: Dakwaan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan orang Melayu tidak akan menyokong Umno jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup untuk menghapuskan perkataan bangsa dalam borang kerajaan sekali lagi membuktikan beliau mempunyai pemikiran yang sempit.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Andy Yong  berkata cadangan sedemikian jelas merupakan satu permulaan yang baik demi perpaduan dan kemajuan negara.

“Bagaimana cadangan Joseph Kurup menjejaskan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang dituduh Ibrahim Ali?” soal beliau dalam satu kenyataan kepada FMT.

Beliau bertanya adakah majoriti orang Melayu tidak bersetuju dengan cadangan tersebut?

“Setahu saya orang Malaysia yang prihatin secara amnya menerima baik apa yang dinyatakan oleh Joseph Kurup itubaru-baru ini,” ujarnya.

Katanya lagi, soal sekolah vernakular sebenarnya bukan satu rintangan terhadap perpaduan jikalau sekolah satu aliran tersebut mempunyai pendidikan dan guru-guru yang berkualiti dan setiap bangsa masing-masing dapat belajar satu subjek bahasa ibundanya.

Andy juga mengatakan bahawa alasan keperluan bahagian bangsa di borang adalah untuk tujuan urusan pentadbiran atau pengiraan data bilangan rakyat Malaysia sepertimana dinyatakan seseorang pemimpin beberapa tahun dahulu adalah meremehkan dan menjadi halangan terhadap perpaduan yang tulen dan keadilan di antara semua rakyat Malaysia.

Beliau menambah konsep 1 Malaysia menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia.

“Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya,” katanya lagi.

Andy Yong berkata semua pihak harus berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan kaum.

“Janganlah kita bersikap evasif mahupun “ bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur,” tegasnya lagi.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/02/27/negara-

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan