Maaf sahaja tidak cukup - Gerakan

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Permohonan maaf Lee Chin Cheh ekoran peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang tidak mencukupi kerana perbuatan itu dilakukan dengan sengaja dan kali ketiga melibatkan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja disifatkan sebagai mengkhianati pengundi DUN berkenaan malah 'mempermainkan' sistem demokrasi negara ini apabila meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan munasabah, dipercayai untuk memenuhi tujuan tertentu.

Katanya, selaku pemimpin yang dipilih menerusi amalan demokrasi, Chin Cheh perlu mengutamakan tugas yang diamanahkan dan bersedia berkhidmat untuk rakyat.

"Rakyat kini amat bijak dan tidak akan membiarkan diri mereka dipermainkan. Saya menjangka pengundi DUN Kajang akan memberi satu pengajaran kepada PKR berikutan tindakan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Chin Cheh dilaporkan hanya mampu meminta maaf kerana gagal menyempurnakan amanah sebagai ADUN Kajang yang diberikan oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu apabila meletakkan jawatan sebelum penggal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat berakhir.

Beliau adalah wakil rakyat PKR ketiga meletakkan jawatan dalam tempoh lima tahun selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan pada Julai 2008.

Begitu juga di DUN Penanti yang menyaksikan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan pada 2009.

Keng Lian berkata, jika Chin Cheh yang mewakili PKR benar-benar ikhlas memohon maaf dengan alasan kononnya peletakan jawatan sebagai ADUN Kajang itu dibuat demi kebaikan rakyat, mereka seharusnya memberi laluan kepada sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP atau Pas bertanding di kerusi tersebut.

Ini kerana katanya, Chin Cheh sebagai calon yang dipilih dan disaring oleh PKR untuk bertanding dalam PRU-13 lalu sendiri mengaku tidak dapat menyempurnakan amanah sebagai ADUN.

"Kalau mereka insaf, PKR seharusnya memberi laluan kepada DAP atau Pas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang jika diadakan dan bukannya meneruskan agenda mereka," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula undang-undang pilihan raya dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada wakil rakyat yang meletakkan jawatan secara tiba-tiba dan tanpa alasan kukuh memandangkan peruntukan sedia ada untuk kes seumpama itu tidak cukup komprehensif.

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz menyifatkan perbuatan Chin Cheh sebagai mempersendakan amanah rakyat yang memilihnya sebagai wakil rakyat di DUN Kajang.

"Pengundi di DUN Kajang seolah-olah dipergunakan ketika mereka diperlukan, kemudian ditinggalkan tanpa khidmat yang sepatutnya mereka dapat disebabkan mainan politik PKR," katanya.

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan