ISU-ISU AKHBAR CINA

By Utusan Melayu
 
 

TINDAKAN BODOH PKR?


AKHBAR China Press semalam menyiarkan pendapat pembaca mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Artikel bertajuk ‘Sikap PKR lupa diri’ itu ditulis oleh Kang Yong Qian yang disiarkan dalam ruangan ‘Kedai kopi Orang ramai’ di halaman C23.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) belum genap setahun, tetapi negara ini sudah melalui tiga kali PRK. Sebelum ini, ada dua PRK berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi hari ini PRK di Kajang pula diadakan disebabkan atas tindakan pemimpin dalam parti itu sendiri.

Sebelum ini, selepas PRU Ke-12, berturutan wakil-wakil rakyat PKR yang bertindak keluar parti. Walaupun tiada sebarang PRK dilakukan, sebenarnya mereka telah menggadai hasrat dan kemahuan rakyat.

Jawapan dan alasan yang diberi oleh PKR apabila berlakunya perkara ini adalah kerana mereka terlalu singkat untuk mengenal pasti calon-calon.

Namun apabila PRK kali ini diadakan, mereka sebenarnya tidak ada alasan lagi. Yang jelasnya, mereka sekali lagi telah menggadaikan kemahuan dan membazirkan masa serta wang ringgit rakyat.

Motif untuk mengadakan PRK dikatakan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya beliau dapat memegang jawatan Menteri Besar Selangor, bagi meredakan perbalahan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

Sebelum Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai ADUN Kajang, Abdul Khalid masih lagi yakin jawatan menteri besar itu masih berpihak kepadanya. Anwar juga tidak mengaku yang dia akan bertanding dalam PRK untuk memegang jawatan berkenaan.

Tetapi hari ini perkara ini telah tersebar, Anwar sendiri menunjukkan reaksi beliau akan bertanding, ini bermakna khabar angin Abdul Khalid akan melepaskan jawatan digantikan dengan Anwar adalah benar.

Jika Anwar tidak mahu jadi menteri besar, dengan kedudukan beliau dalam politik kenapa dia turun padang untuk bertanding jawatan ADUN?

Ini kali kedua alasan Anwar untuk turun bertanding yang mengorbankan orang lain. Yang pertama dia telah menolak isterinya sendiri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepadanya.

Walaupun PRK di Permatang Pauh dikatakan telah membazirkan duit rakyat, pastinya tindakan beliau itu adalah jalan yang dibenarkan penyokongnya untuk mengembalikan Anwar ke Dewan Rakyat yang membolehkan dia memimpin pembangkang menentang Barisan Nasional (BN).

Tetapi PRK di Kajang ini hanya untuk kepentingan peribadi Anwar bukan satu tindakan yang berada di landasan yang betul. Sedangkan Abdul Khalid dan Azmin sebenarnya ialah calon pilihan terbaik untuk menjadi menteri besar. Hanya untuk menyelesaikan masalah dalaman parti, Anwar pula jadi payung terjunnya.

Ini jelas, Anwar tidak menghiraukan pilihan dan keputusan rakyat pada PRU 5 Mei tahun lalu, dan dengan tidak bertanggungjawab dia melakukan pembaziran masa dan wang ringgit rakyat.

Anwar sebagai pemimpin yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, jika beliau memegang jawatan menteri besar, bukankah ia hanya merendah-rendahkan martabat beliau?

Cuba kita tinjau di luar negara seperti Jepun dan Australia, perdana menteri mereka boleh bertukar posisi menjadi menteri dan bekas perdana menteri boleh bertanding jawatan Datuk Bandar. Di negara mereka tindakan seperti ini tidak dirasai pelik.

Tetapi di negara ini, pemimpin seperti Anwar yang begitu berkobar-kobar mahu menjadi perdana menteri tiba-tiba pada hari ini pula berubah fikiran mahu menjadi menteri besar.

Tiba-tiba pula dia mahu turun pangkat. Bukankah tindakan ini sangat tidak wajar. Orang akan beranggapan bahawa dia memang tamak kuasa.

Anwar juga perlu memberi penjelasan selepas dia menjadi menteri besar kelak, adakah dia masih berhasrat mahu jadi perdana menteri ataupun pada masa akan datang calon Pas yang akan bakal menjadi perdana menteri?

PKR mahukan PRK, seperti telah melupakan kemahuan dan hasrat rakyat. Adakah perkembangan ini akan menyebabkan pengundi akan merasa tidak puas hati, ataupun akan jadi satu pengajaran bagi Anwar?

Anwar boleh mempunyai semangat berkobar-kobar, tetapi jangan pandang rendah terhadap kebijaksanaan pengundi yang menilai. PRK hanya setapak langkah dalam permainan catur, umpama pepatah Cina mahu menghilangkan dahaga sanggup menyembelih angsa untuk minum seteguk darahnya yang membawa maksud mahu rasa sedap sekejap tetapi tidak fikir akibatnya.

AWALKAN PILIH BAKAL CALON BERTANDING

 

NANYANG SIANG PAU dalam satu artikel yang ditulis oleh editor akhbar berkenaan dalam ruangan pendapat Yuan Lun Isnin lalu, pula menyentuh langkah memilih calon lebih awal untuk bertanding dalam PRU.

Undi parti, tidak undi calon atau undi calon tidak undi parti, sering bermain dalam fikiran pengundi.

Dalam suasana angin tentangan yang begitu kuat kerana rasa tidak puas hati kepada sesebuah parti, pengundi-pengundi biasanya akan memilih parti, bukan calon.

Ada sesetengah orang beranggapan tidak kira siapa sahaja yang menjadi calon kini, jika mereka adalah daripada kem pembangkang, besar kemungkinan calon berkenaan akan mengalahkan calon heavyweight parti pemerintah.

PRU 2008, keadaan seperti ini telah berlaku dengan jelas, pada masa itu ramai calon pembangkang yang kurang berkualiti menjadi calon PKR ketika berlakunya angin tentangan rakyat kepada pemerintah ini dan mereka menang.

Bagaimanapun calon-calon yang terpilih ini tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik semasa di Dewan Rakyat dan ada sesetengahnya telah menjejaskan prestasi PKR pada PRU-13.

Empayar Rom bukan dibina dalam sekelip mata, tidak kira sama ada ia diadun dengan kemas dan teliti ataupun yang terbilang, kehadiran golongan bijak pandai daripada Pakatan Rakyat pastinya memerlukan waktu untuk mereka digilap dalam arena pembangunan politik.

Maka, Presiden Gerakan, Mah Siew Keong baru-baru ini berkata, Gerakan telah membuat keputusan untuk membuat perubahan strategi iaitu mengenal pasti calon yang bertanding lebih awal untuk PRU akan datang.

 

Arahan ini dikeluarkan kepada negeri-negeri untuk mengemukakan nama-nama calon bertanding yang dikenal pasti dalam Februari ini. Ini supaya calon-calon dapat digilap dan dilatih awal, bukan menunggu di saat-saat akhir pilihan raya baru memilih calon bertanding.

 

Selewat-lewatnya masih ada empat tahun untuk menunggu PRU ke-14 pada 2018. Mengenal pasti awal calon bertanding oleh Gerakan adalah seperti menyediakan payung sebelum hujan. Langkah ini boleh dicontohi oleh parti lain.

 

Pada kebiasaannya senarai calon bertanding dianggap rahsia sulit parti. Ini kerana dikhuatiri nama-nama bakal calon itu akan terdedah dan berlaku perbalahan dalam parti.

Seperti pantang tewas sebelum berperang, walaupun dikatakan nama calon dikemukakan pada saat akhir, bukankah ia masih mendapat tentangan dari dalam parti juga? Bukankah baik, lebih awal berlaku perbalahan daripada berlaku di saat-saat akhir? Dengan itu parti akan dapat membuat persiapan lebih awal untuk menangani bantahan dalaman.

Selagi tidak mengumumkan nama calon-calon bertanding, apa yang tersirat bakal calon pastinya tidak selesa dan sentiasa merasa kurang senang. Ini secara tidak langsung akan mengganggu masa dan persediaan calon yang akan bertanding.

Yang penting kita perlu menjurus kepada apa yang pengundi mahu, jika umumkan calon bertanding lebih awal, barulah pengundi mempunyai masa membuat penilaian ke atas calon-calon lebih awal.

Jika ia benar-benar bagus kita tidak akan rasa gentar umpama pepatah Cina, emas tulen tidak takut dibakar. Jika bakal calon dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang sebelum bertanding, pasti pengundi akan memilih mereka.

Jika ada orang yang sanggup membuat soal selidik sama ada sokongan pengundi terhadap calon ini bagus ataupun tidak, pasti ramai calon sanggup berbuat demikian. Kami percaya ramai daripada kalangan pengundi mahu mengenal lebih awal siapa bakal calon wakil rakyat mereka.

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan