Wanita Gerakan Turun Padang Jelas Pelaksanaan GST - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Wanita Gerakan Turun Padang Jelas Pelaksanaan GST

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Wanita Gerakan akan mengadakan sesi turun padang ke seluruh negara bagi membantu kerajaan memberi penerangan berhubung pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketuanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata program itu dijangka akan diadakan dalam masa terdekat dan akan menjadi platform penting untuk menyalurkan maklumat betul dan tepat mengenai pelaksanaan GST yang tidak akan membebankan rakyat.

"Kebanyakan rakyat, terutama di peringkat akar umbi, kurang mendapat pendedahan dan penerangan atau menerima maklumat salah mengenai GST. Justeru itu, Wanita Gerakan mengambil inisiatif untuk memberi kefahaman yang betul mengenainya," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis malam mesra media anjuran Wanita Gerakan di sini.

Turut hadir Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Setiausaha Agung parti Liang Teck Meng.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST bermula 1 April, 2015 pada kadar enam peratus dalam pembentangan Bajet 2014 di Dewan Rakyat.

Najib berkata GST merupakan sistem cukai yang adil dan menyeluruh, yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Pada masa ini pengguna dikenakan dua jenis cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau SST dengan kadar keseluruhan 16 peratus. Menerusi GST, pengguna hanya dikenakan satu cukai yang ditetapkan pada kadar enam peratus.

Dalam pada itu, Tan yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata sesi turun padang itu akan turut memberi penerangan berkenaan isu kenaikan harga barang yang sehingga kini dilihat lebih banyak mengelirukan rakyat sebagai pengguna.

Mengulas mengenai majlis malam ini, Tan berharap pihak media akan sentiasa bersama Gerakan dan kerajaan khususnya dalam menjayakan agenda transformasi negara demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

"Peranan media amat besar dalam menyalurkan maklumat terutama melalui laporan berita yang dikeluarkan, untuk itu kerjasama erat harus diperkukuh bagi menjamin penyaluran informasi yang tepat kepada rakyat," katanya.
 
 
 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan