Jangan naikkan harga secara mendadak - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Jangan naikkan harga secara mendadak

KUALA TERENGGANU – Kerajaan perlu menimbang semula kenaikan harga barangan supaya ia tidak berlaku secara mendadak dan membebankan rakyat.

 Pengerusi Parti Gerakan Terengganu, Datuk Yap Kea Ping bagaimanapun turut meminta perkara sedemikian tidak dipolitikkan kerana berpendapat ia bukan berlaku di peringkat Pusat, malah turut membabitkan kerajaan negeri termasuk di bawah pentadbiran PR seperti di Selangor yang mengenakan kadar yang tinggi bagi cukai lesen perniagaan.

 Menurutnya, bebanan kenaikan harga sudah tentu dirasai rakyat.

“Mungkin dari aspek ini kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kena timbang balik dari sudut kenaikan tertentu dengan membuat kenaikan secara berperingkat supaya bebanan tidak dirasai sekali gus.

“Di peringkat kerajaan Pusat, pertimbangkanlah mana-mana kenaikan seperti kenaikan tol dan tarif elektrik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

 Sementara itu, mengulas tindakan pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram, pihaknya menyifatkan tidak wajar.

 Jelasnya, banyak cara diplomasi boleh dilakukan untuk menyampaikan perkara tersebut.

“Takkanlah setiap kali harga barang naik kita mahu adakan perhimpunan. Kalau buat pun tetapi kerajaan tidak mampu turunkan harga barang, tidak jadi juga.

 "Perkara ini sebelum PRU13 lalu pun sudah ada tetapi BN menang juga," katanya.


 Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak mengambil kira tanggungan kerajaan dalam menguruskan keperluan negara yang sudah tentu memerlukan kerjasama semua pihak.
 
 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan