Mah Siew Keong terajui Gerakan

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas jawatan nombor satu parti itu dengan memperoleh kemenangan besar sebanyak 1,086 undi pada pemilihan badan induk parti berkenaan dalam Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 yang berlangsung hari ini.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Siew Keong berjaya menewaskan pencabarnya iaitu Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang memperoleh sebanyak 577 undi.

Pengumuman berhubung keputusan pemilihan itu dibuat oleh Penyelia Pemilihan yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Terengganu, Yap Kia Peng kira-kira pada pukul 4.45 petang.

Kira-kira 1,640 perwakilan kebangsaan hadir ke persidangan itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadir sama, Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn; bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Setiausaha Agung MIC, A. Sakthivel.

Sebelum ini, Ko Youn mengambil keputusan tidak bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan ini bagi memberi laluan kepada orang muda untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr. Cheah Soon Hai berjaya meraih sebanyak 1,113 undi mengalahkan pesaingnya iaitu Pengerusi Gerakan Bahagian Kepong, Ma Woei Chyi yang memperoleh sekadar 545 undi iaitu perbezaan undi sebanyak 568 undi.

Dalam pada itu, pertarungan bagi jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertembungan lima penjuru pula telah dimenangi oleh Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee dengan sebanyak 1,226 undi.

Selain itu, dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Gerakan Selangor, A. Kohilan Pillay dan seorang wakil Melayu, Dr. Asharuddin Ahmad turut muncul sebagai penyandang jawatan Naib Presiden dengan masing-masing memperolehi sebanyak 1,144 dan 1,104 undi.

Liang Teck Meng, Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Lau Hoi Keong, B. Jayanthi Devi dan Lau Chin Hoon adalah antara 18 anggota jawatankuasa yang meraih bilangan undi tertinggi dipilih menerajui parti tersebut.

Sementara itu, Siew Keong ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu berkata, beliau gembira dan berterima kasih dengan kemenangan tersebut.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan Timbalan Presiden baharunya dalam melaksanakan program-program yang terkandung dalam manifestonya.

"Ini bukan satu tanggungjawab yang mudah untuk dipikul ekoran Gerakan kini berhadapan dengan cabaran. Oleh itu, kerjasama semua pemimpin dan ahli akar umbi amat diperlukan bagi memperkuatkan parti," katanya.

dalam mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan pencabarnya, Chang Yeow akan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.

"Selain itu, cadangan bagi mengehadkan tempoh jawatan Presiden juga akan dipertimbangkan. Hal ini memerlukan perbincangan daripada semua ahli dalam parti dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.



Source: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131027/po_07/Mah-Siew-Keong-terajui-Gerakan

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan