GERAKAN setuju bergabung

Kuala Lumpur: GERAKAN bersetuju dengan cadangan MCA untuk bergabung selepas mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, Pemangku Presidennya, Datuk Chang Ko Youn, berkata MCA perlu meminda perlembagaan parti bagi membolehkan ahli bukan Cina terutama Melayu dan India dapat menganggotainya.
“Kita tidak boleh meminggirkan ahli berbangsa lain yang sudah lama setia dalam perjuangan bersama kami sejak berpuluh tahun lalu.


“Saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh MCA dalam proses penggabungan kerana ia adalah penghalang kepada penggabungan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung bahawa penggabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebagai parti teras pelbagai kaum harus dimulakan dengan menggabungkan parti komponen lain selain UMNO terutama parti berteraskan kaum Cina dan India di negara ini.

Penjenamaan semula BN

Tindakan itu penting untuk membolehkan proses penyatuan terbesar yang turut membabitkan penjenamaan semula BN sebagai parti tunggal untuk semua kaum dapat dilakukan secara lebih lancar pada masa depan.
Ko Youn berkata, pihaknya sebelum ini juga pernah berbincang dengan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bagi menggabungkan kedua-dua parti berkenaan bersama MCA.

“Beliau (Peter Chin) tidak mempunyai masalah untuk proses penggabungan ini bagi memperkukuhkan lagi sokongan kepada BN,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengetuai Pasukan Petugas Khas MCA untuk merancang hala tuju parti itu berkata, segala idea transformasi parti berkenaan, termasuk cadangan penggabungan bersama dengan GERAKAN dan SUPP akan dibincangkan nanti.

MCA akan umum

“Selepas segala pembaharuan dan perubahan diputuskan, kita (MCA) akan beritahu,” katanya.

Pada PRU-13, MCA memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi ditandinginya dan hanya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi. Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

GERAKAN pula memenangi satu kerusi Parlimen, Simpang Renggam, daripada 11 kerusi diperuntukkan dan tiga kerusi DUN iaitu Pemanis, Johor; Tanjong Papat dan Elopura, Sabah daripada 31 kerusi ditandingi.




SOURCE: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GERAKANsetujubergabung/Article

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan