Gerakan sokong kekal kuota Bumiputera

ALOR SETAR - Gerakan Kedah menyokong cadangan kerajaan negeri mengekalkan kuota Bumiputera iaitu 30:70 bagi semua projek perumahan.

Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang berkata, kuota asal yang sudah dilaksanakan sejak sekian lama terbukti memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak sama ada pemaju dan pembeli rumah.

Menurutnya, draf dasar perumahan Kedah yang cuba diperkenalkan kerajaan PR sebelum ini antaranya menetapkan kuota 50 peratus untuk Bumiputera jika diteruskan menyebabkan pemaju berisiko menanggung kerugian.

“Bidang perumahan antara bidang menjana ekonomi di negeri ini sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan kemasukan ramai pemaju,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, Gerakan turut gembira kerana kerajaan negeri sekarang mengambil langkah segera untuk melunaskan aku janji Barisan Nasional (BN) dengan memberi tumpuan awal terhadap isu pembalakan serta perumahan.

“Kita berharap kerajaan negeri mengkaji semula beberapa projek sebelum ini yang tertangguh. Hanya satu projek iaitu Projek Pembangunan Bandar Sejahtera, Pokok Sena menunjukkan perkembangan siap lebih 85 peratus bagi fasa satu.

“Sementara dua projek lain termasuk pangsapuri kos rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan Bandar Tunku Puteri Pokok Sena belum diketahui statusnya,” katanya.

Keng Liang berkata, rancangan kerajaan negeri membina lebih banyak rumah mampu milik selaras dengan aku janji BN bagi menyelesaikan masalah perumahan masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai rumah sendiri adalah tindakan yang amat bermakna kepada rakyat.

“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk turut melaksanakan lebih banyak Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi melonjakkan ruang pemilikan rumah di kalangan rakyat,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan kerajaan negeri akan mengkaji semula polisi perumahan kerajaan terdahulu supaya lebih kondusif dengan situasi semasa termasuk menilai semula kuota asal iaitu 30:70 peratus bagi semua projek.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, polisi baru yang akan diumumkan kelak lebih pro-pembangunan selain mengutamakan keperluan penduduk.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini mengesahkan pihaknya akan mengenal pasti tanah di kawasan tertentu untuk membina kira-kira 100 hingga 200 rumah mampu milik dan mengadakan kampung tersusun seperti di Changlun.


SOURCE: http://www.sinarharian.com.my/gerakan-sokong-kekal-kuota-bumiputera-1.164085

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan