Gerakan akan segera dipulihkan

KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan yang baharu Datuk Mah Siew Keong berkata beliau akan segera memulihkan parti.


  
Beliau berkata pemegang jawatan parti yang baharu dipilih perlu segera bekerja termasuk memperkukuh perpaduan di kalangan anggota.


  
Dalam reaksi segera beliau sebaik keputusan pemilihan parti diumumkan, beliau berkata parti berusia 45 tahun itu menghadapi lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini terutama ekoran prestasi lemahnya dalam dua pilihan raya umum lalu.


  
"Ia bukan tugas mudah. Tetapi saya fikir jika kita bekerja bersama sebagai satu pasukan, kita boleh menaikkan semula parti. Terdapat banyak perkara yang perlu kita buat. Selepas dua kekalahan, kita mengaku kita mempunyai kelemahan (untuk diatasi)," katanya kepada pemberita.



Beliau terpilih sebagai presiden setelah menewaskan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow dengan majoriti 509 undi.

  
Bekas setiausaha agung Gerakan ini memperoleh 1,086 undi sementara Teng mendapat 577 undi.

  
Mah berkata beliau akan melantik Teng sebagai anggota jawatankuasa pusat parti bagi membolehkan Teng memainkan peranan lebih besar dalam politik nasional.


  
"Beliau (Teng) telah bersetuju bahawa kami bekerjasama untuk memastikan Pulau Pinang memberi keputusan baik di pusingan (pilihan raya umum) seterusnya," katanya.
  


Ditanya sama ada beliau akan melaksana manifesto mengehadkan penggal presiden kepada maksimum dua tahun, beliau berkata perkara itu perlu mendapat kelulusan badan pembuat dasar parti.


Mengenai isu lain, beliau melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan percaya Gerakan masih mempuyai peranan untuk dimainkan dalam Barisan Nasional.

  
Teng pula berkata beliau menerima keputusan pemilihan itu demi perpaduan Gerakan.

 "Ia masanya untuk bersatu. Apabila kita menang, jangan terlalu gembira, bila kalah, jangan terlalu sedih," katanya.


  
Persidangan perwakilan itu meluluskan 15 deklarasi yang bertujuan memulihkan parti selari dengan slogan parti 'Cara baharu, Harapan baharu dan Gerakan baharu'.
  


Ia antara lain mahu amalan kesederhanaan diteruskan, meminta semua parti politik berhenti bermain api perkauman dan agama serta menegakkan semangat Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan.  


Gerakan juga menggesa pihak polis menguatkuasakan undang-undang secara adil dan menghukum pertubuhan atau individu yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan negara bagi mengembali keyakinan rakyat kepada pasukan itu. - Bernama

Source: http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/gerakan-akan-segera-dipulihkan-1.214742

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan