Gerakan perlu lepasi 3 peringkat sebelum letak calon di Tanjung Piai - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Gerakan perlu lepasi 3 peringkat sebelum letak calon di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hanya akan meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai selepas melepasi tiga peringkat dalam parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, walaupun perkara itu telah dibawa ke peringkat Biro Politik, namun ia perlu melalui Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan.

“Kita nak ambil bahagian atau tidak bergantung kepada keputusan biro politik, CWC dan akhirnya CC. Persetujuan atau sokongan perlu diberikan tiga peringkat ini.

“Jika melepasi ketiga-tiga peringkat ini, kita akan membuat keputusan yang kita ada.

“Tapi pada masa ini, memang ada perbincangan bahawa nak bertanding atau tidak kita sudah adakan sekali bawah biro politik,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Tanjung Piai esok, susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Dominic bagaimanapun berkata pihaknya perlu menunggu pengumuman SPR terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk meletakkan calonnya.

“Kita nak tunggu pengumuman SPR tentang tarikh pilihan raya itu akan dijalankan. Kita kena dapatkan butiran tertentu dulu,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut akan turun padang menemui pengundi Parlimen Tanjung Piai bagi mendapatkan maklum balas sebelum membuat keputusan.

“Pada masa sama kita dapatkan maklum balas daripada rakyat terutamanya pengundi-pengundi Tanjung Piai dan situasi politik, kemudian baru kita buat keputusan,” katanya lagi.

Source: http://bit.do/fa9tk

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan