PRK Tanjung Piai : Gerakan akan umum keputusan

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Gerakan akan membuat keputusan sama ada meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas melepasi tiga peringkat dalaman parti itu.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tiga peringkat itu adalah biro politik, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan.

“Pada masa ini, memang ada perbincangan dalam biro politik sama ada hendak bertanding atau tidak , tetapi kita tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dahulu (tarikh PRK).“Kita perlu mendapatkan persetujuan melalui tiga peringkat itu dan sekiranya sokongan diberikan CWC dan CC itu, barulah kita akan umumkan keputusan.

“Kita juga hendak dapatkan maklumat terperinci dahulu dan dalam masa sama kita ingin mengetahui maklum balas rakyat terutamanya pengundi di Tanjung Piai dengan situasi politik semasa baru buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri, Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan di Ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Penasihat parti, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dalam perkembangan lain, Dominic berkata, pucuk kepemimpinan parti itu bersetuju dengan penurunan had umur ahli kepada 16 tahun.

Jelasnya, perkara itu penting bagi memberi peluang kepada golongan muda menyertai parti itu sekali gus menjadi pemimpin pada masa depan.

“Setuju atau tidak kita perlu lihat pada Persidangan Delegasi Kebangsaan (November) yang mana resolusi itu mesti dibentangkan dan dipersetujui setiap wakil parti.

“Kita setuju umur itu direndahkan sehingga 16 tahun tetapi bukan hanya resolusi umur sahaja, kita pun hendak pastikan pemuda dan wanita Gerakan bersiap sedia menghadapi cabaran yang dihadapi oleh golongan muda hari ini,” jelasnya.


Source: http://bit.do/fa8sq

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan