Gerakan tak toleransi agenda satu kaum - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Gerakan tak toleransi agenda satu kaum

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Gerakan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana parti politik yang hanya mementingkan agenda satu kaum semata-mata.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, perkembangan politik yang berlaku itu dilihat kurang sihat dalam kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Situasi politik hari ini kita boleh lihat apabila UMNO-Pas umumkan sudah bergabung, selepas itu, diteruskan Pakatan Harapan yang mana Perdana Menteri akan mengadakan konvensyen mempertahankan maruah orang Melayu.

“Kita nampak situasi ini kurang sihat kerana negara kita berbilang kaum dan perspektif berbilang agama serta budaya ini, kita biasa katakan perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri, Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan di Ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Penasihat parti, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Jumaat lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan kehadiran beliau ke Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung di

Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober ini.

Kongres yang bakal mengumpulkan 20,000 peserta dibuka hanya kepada orang Melayu itu dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Dalam kongres itu, Dr. Mahathir hadir atas kapasiti sebagai pemimpin Melayu dan bukannya Perdana Menteri atau pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Dominic berkata, disebabkan keadaan politik semasa sekarang, Gerakan akan berusaha menjadi alternatif kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Oleh itu, persidangan ini kita umumkan Gerakan akan menjadi ‘kuasa ketiga’ atau memberikan pilihan alternatif kepada rakyat dan dalam masa tertentu kita akan berjumpa dengan parti tertentu yang bersetuju dengan ideologi kita dalam menggerakkan kepentingan melibatkan pelbagai kaum dan agama,” jelasnya.

Source: http://bit.do/fa8mA

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan