P. Pinang tiada alasan munasabah naik cukai pintu - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

P. Pinang tiada alasan munasabah naik cukai pintu

PULAU PINANG 24 Sept. - Tiada alasan munasabah untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi dua pihak berkuasa tempatan (PBT) menaikkan cukai pintu yang akan berkuat kuasa awal tahun depan.

Ini kerana, menurut Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, keadaan kewangan kerajaan negeri mencatatkan lebihan fiskal secara berterusan sejak 2008 manakala Laporan Audit Negara juga membuktikan keadaan kewangan negeri adalah sihat.

Malah, kata beliau, sejak 2008 juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah banyak menjual tanah milik kerajaan negeri dan mengumumkan kepada rakyat mempunyai lebihan serta menjana pendapatan tinggi setiap tahun.

"Rizab semasa kerajaan negeri iaitu RM1,467,430 menunjukkan Pulau Pinang tidak menghadapi masalah kewangan.

"Sementelah, kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP juga sentiasa berasa bangga dengan pencapaian pengurusan kewangan negeri dan sentiasa menegaskan keadaan kewangan negeri sangat stabil.

"Sekiranya keadaan ini berlaku, maka tidak ada sebab untuk kerajaan negeri menaikkan cukai pintu pada masa ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, pihaknya menerima rungutan daripada penduduk mengenai kenaikan cukai pintu mereka yang ada daripadanya sehingga hampir 100 peratus.

Katanya, kenaikan itu bukan langkah tepat terutama dalam situasi tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ketika ini khususnya ketika kos sara hidup dan harga barang terus meningkat.

Dalam masa sama, beliau mempertikaikan alasan kononnya kenaikan cukai pintu diperlukan bagi menaik taraf kemudahan asas di negeri ini seperti membaiki jalan raya.

Sedangkan, jelas beliau, kebanyakan jalan di dalam negeri adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan setiap tahun Kerajaan Pusat akan memberi peruntukan untuk menjalankan kerja pembaikan jalan raya.

"Sehubungan itu, kita merayu Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memahami kesulitan yang dihadapi rakyat dan membatalkan keputusan menaikkan cukai pintu yang jelas membebankan kehidupan rakyat," katanya.

Source: http://bit.do/faskm

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan