Gerakan kecewa sikap Guan Eng salahkan kerajaan terdahulu

KUALA LUMPUR - Gerakan kecewa dengan sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang secara berterusan menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu atas prestasi kurang memuaskan Pakatan Harapan (PH) meskipun sudah lebih setahun mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berharap agar Guan Eng akan melaksanakan kerjanya secara praktikal dan berhenti `bercakap kosong’.

Jelas Dominic, sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin juga pernah menggesa PH berhenti menyalahkan kerajaan lama dan memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun Menteri Kewangan itu masih tidak mengendahkan nasihat tersebut sebaliknya menggunakan pendekatan ‘blame game’.

“Sudah lebih setahun PH memegang tampuk pemerintahan dan kini mengelak tanggungjawabnya kepada kerajaan terdahulu. Berapa lama gimik politik seperti ini akan dimainkan?

“Sebelum PRU-14, Guan Eng dakwa akan menyelamatkan negara ini tetapi selepas memegang jawatan, beliau tidak mengambil sebarang tindakan praktikal malah hanya menyalahkan kerajaan lama jika ada masalah, adakah ini caranya Menteri Kewangan mahu menyelamatkan negara?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic menegaskan bahawa era Barisan Nasional (BN) kini dilihat sebagai sejarah.

Katanya, rakyat sedar apa yang berlaku pada masa lalu dan atas sebab itu mereka mengundi PH bagi menyingkirkan BN.

“Rakyat berharap dapat melihat perubahan di negara ini dan kerajaan PH juga sebenarnya sedang melaksanakan janji-janji pilihan raya. Mereka tidak mahu melihat pemimpin PH menuding jari menyalahkan semua masalah kepada kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Dominic turut mempertikaikan dakwaan Guan Eng kononnya terdapat pelbagai perancangan yang mahu dilakukan PH namun disebabkan salah urus dan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan sebelum ini, segala pelan itu tidak dapat dilaksanakan.

Beliau juga mempersoal apa penjelasan Guan Eng mengenai kegagalan kerajaan dalam mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga hari ini.

“Jika beliau mendakwa bahawa kita memerlukan wang untuk melaksanakan segala rancangan itu, kita masih boleh menerimanya tetapi bagaimana pula dengan isu pengiktirafan UEC. Ia hanya memerlukan tandatangan dan dokumen berkaitan, mengapa masih belum diiktiraf sehingga hari ini. Malah, kami juga keliru dengan dakwaan bercanggah bahawa kerajaan PH mempunyai dana yang banyak dalam tabung kerajaan pada masa tertentu dan tidak mempunyai wang pada waktu lain?

“Sebagai contoh, apabila Kementerian Kewangan mencadangkan peruntukan RM6 bilion untuk diberikan sebagai elaun dan subsidi gaji kepada graduan baharu, Guan Eng dakwa kerajaan mempunyai banyak wang tetapi apabila melibatkan isu bayaran balik 40 peratus hasil kepada Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau kata sebaliknya. Ini menyebabkan ramai tertanya sama ada kerajaan mempunyai wang atau tidak.

“Walau apa pun, saya berharap Guan Eng akan mendengar nasihat Tun Daim agar dapat melaksanakan kerjanya secara praktikal untuk memulihkan ekonomi negara dan berhenti bercakap kosong, tidak melakukan apa-apa tetapi `mengambil kredit’ dan menyalahkan kerajaan terdahulu apabila ada masalah,” katanya.

Source: http://bit.do/eWMjo

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan