Kay Kim tiada galang ganti

KUALA LUMPUR: Pemergian tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, semalam kehilangan besar buat negara khususnya bidang sejarah dan sukan, kata Naib Presiden GERAKAN, Koo Shiaw Lee.

Katanya, mendiang adalah tokoh kebanggaan masyarakat Cina yang tiada galang gantinya kerana memiliki ilmu sejarah yang tinggi sehingga menjadi antara sumber rujukan utama sejarah negara.

“Biasanya masyarakat Melayu lebih arif mengenai ilmu sejarah negara, namun mendiang mengagumkan kerana boleh mengingati sejarah, fakta serta tarikh yang penting dan ini adalah kehilangan besar kepada negara,” katanya kepada BH di Balai Berita, di sini.

Antara jasa mendiang kepada negara adalah terbabit merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya jam 10.13 pagi semalam.

Ahli akademik berusia 82 tahun itu pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada Oktober lalu dan keadaan kesihatannya terus merosot selepas pulang daripada rawatan.

Sementara itu, anak lelaki mendiang, Eddin Khoo dilaporkan berkata, bapanya dijangka dikebumikan di Taman Peringatan Nirvana Shah Alam, Sabtu ini.

Source: https://bitlylink.com/6iWT7

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan