GERAKAN fokus tawan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) akan memfokuskan untuk menawan kembali Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), nanti.

Naib Presidennya, Koo Shiaw Lee berkata,ini kerana negeri itu adalah kubu kuat GERAKAN sebelum PRU Ke-12 pada 2008.

Bagaimanapun katanya, parti itu tidak akan mengabaikan negeri lain khususnya Perak yang juga pernah menjadi kubu kuat GERAKAN, selain Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kita akui, selepas PRU-14, ramai melihat GERAKAN semakin lemah kerana gagal memenangi sebarang kerusi atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kita yakin akan bangkit kembali dalam PRU-15.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah mengukuhkan semula parti dan mengembalikan keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap parti,” katanya kepada BH selepas kunjungan hormat terhadap Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid di Balai Berita, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarang Bersekutu Berita dan Digital BH, Zainudin Isa.

Pada 23 Jun tahun lalu, GERAKAN mengumumkan keluar BN untuk menjadi parti bebas yang konstruktif dengan keputusan itu dibuat sebulat suara hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CGC) parti.

Shiaw Lee yang juga Ketua Biro Publisiti GERAKAN, berkata parti itu akan menjalankan tanggungjawab ‘semak dan imbang’ dan akan menegur kerajaan demi kepentingan rakyat.

Katanya, parti itu juga akan berusaha mengembalikan kegemilangan yang pernah dinikmati pada era mendiang Tun Dr Lim Chong Eudan Tun Dr Lim Keng Yaik menjadi Presiden parti.

Beliau berkata, mendiang Keng Yaik ketika menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya membela nasib pekebun kecil getah dan kelapa sawit.

Mengenai desas-desus, bekas Naib Presiden parti, Datuk A Kohilan Pillay keluar parti dan menyertai MIC, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan oleh parti.

“Saya sendiri belum menerima maklumat mengenainya dan akan mendapatkan info sahih berhubung perkara itu,” katanya.

Source: https://bitlylink.com/gql9F

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan