PRK Sandakan: Kemenangan PH merugikan pengundi Cina

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dikhuatiri bakal membuatkan gabungan parti sama ada kerajaan atau pembangkang akan berusaha mencari sokongan pengundi Melayu sekali gus merugikan komuniti Cina.

Hal ini kerana, menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, PRK Parlimen Sandakan telah membuktikan undi komuniti Cina tetap kukuh kepada PH dengan pembangkang masih sukar memenangi kembali hati pengundi bukan Melayu.

Lebih merisaukan kata Dominic, kemenangan PH itu akan mewujudkan kerjasama lebih erat antara UMNO dan Pas bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

“Kemenangan calon DAP di Sandakan menunjukkan pembangkang masih sukar mendapatkan sokongan pengundi Cina sekali gus membuatkan UMNO ‘melupakan’ mereka dan bekerjasama lebih rapat dengan Pas untuk memperoleh undi Melayu.

“Dalam persekitaran politik sedemikian, PH akan turut bersaing dengan gabungan UMNO-Pas mendapatkan undi Melayu bagi memastikan terus kekal di tampuk pentadbiran. Perkara ini akan mencetuskan persaingan sokongan Melayu dan mencetuskan proses Islamisasi dalam negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PH berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan apabila calon DAP, Vivian Wong Shir Yee menewaskan empat pencabar lain dalam PRK kawasan itu, semalam.

Vivian memperoleh majoriti 11,521 undi selepas mendapat 16,012 undi meninggalkan jauh pencabar terdekat iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin yang hanya mendapat 4,491 undi. 

Source: https://bitlylink.com/kyjBv

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan