Akta Hasutan: Apa formula baharu PH?

KUALA LUMPUR 11 Mei - Gerakan menyambut baik penegasan terbaharu yang dibuat kerajaan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Gerakan bersependapat dengan kerajaan dalam isu memansuhkan Akta Hasutan malah sentiasa menyokong usaha itu.

Walau bagaimanapun, beliau mempersoalkan, apakah langkah seterusnya bagi kerajaan selepas memansuhkan Akta Hasutan?

“Pusingan U oleh Pakatan Harapan (PH) dengan membatalkan moratorium lalu menahan beberapa individu menunjukkan bahawa Akta Hasutan atau apa-apa undang-undang baharu yang akan menggantikannya boleh disalah guna oleh kerajaan, mereka perlu berpegang kepada janji untuk memansuhkannya dan melindungi kebebasan bersuara.

“Ini menunjukkan bahawa kita perlu memerhatikan secara rapat apakah formula baharu yang akan diperkenalkan PH untuk menangani perbuatan menghasut kerana PH sedang mengalami defisit kredibiliti. Orang ramai perlu memerhati perkembangan ini untuk mengelakkan kerajaan memperkenalkan akta baharu yang serupa dengan Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan pada tahun ini dan kerajaan sedang melihat pelbagai faktor bagi melaksanakannya.

Mengulas lanjut, Dominic menggesa kerajaan supaya mengenakan semula moratorium terhadap akta tersebut dan menghentikan semua siasatan di bawah akta itu yang sedang berjalan.

Kata beliau, PH perlu menunjukkan komitmen dan keikhlasan mereka melaksanakan perkara itu dengan menggugurkan semua dakwaan di bawah akta tersebut tanpa sebarang syarat.

“Baru-baru ini dilaporkan bahawa Human Rights Watch mendakwa usaha reformasi PH terhadap agenda hak asasi manusia dalam tempoh setahun berkuasa adalah sangat mengecewakan.

“PH tidak berusaha secukupnya untuk memenuhi janji bahkan melangkah ke belakang. Kami berharap PH akan buat perkara yang betul kali ini,” katanya. 

Source: https://bitlylink.com/WI8Nw

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan