Laporan PH, Bersih 2.0 sahkan prestasi buruk kerajaan

KUALA LUMPUR 10 Mei - Laporan penilaian prestasi Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan hanya 39 peratus janji dipenuhi manakala laporan berasingan daripada Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) memberikan markah 36.4 peratus mengesahkan prestasi buruk sepanjang setahun pentadbiran kerajaan.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah memberitahu kedua-dua markah itu juga kira-kira sama dengan penilaian parti itu yang hanya memberikan 35 peratus kepada prestasi PH.

Jelas beliau, laporan Bersih 2.0 yang hanya memberi tumpuan kepada enam janji berkaitan reformasi institusi dalam manifesto PH tidak begitu komprehensif tetapi boleh difahami kerana pertubuhan itu sememangnya dikenali kerana mahu melaksanakan reformasi institusi.

“Laporan Bersih 2.0 itu telah menunjukkan tahap kemajuan yang telah PH bawa dalam soal pembaharuan institusi sejak setahun lalu. Walaupun di bawah jangkaan asal, namun banyak janji yang telah dicadangkan Gerakan selama bertahun-tahun didengari. Kami berharap PH akan dapat mencapai markah 50 peratus ke atas tahun hadapan.

“Namun begitu, dalam penilaian yang dilakukan Gerakan, PH sebenarnya telah menunjukkan prestasi agak buruk dalam Teras Kedua yang menjanjikan reformasi politik dan institusi. Malah, 15 daripada 19 janji telah merekodkan markah negatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam memaklumkan prestasi pencapaian PH bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 adalah sebanyak 39.01 peratus.

Dr. Mahathir mengumumkan prestasi itu diukur melalui status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji kerajaan. 

Source: https://bitlylink.com/Ms7fr

 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan