Kerajaan PH sepatutnya dedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan - Gerakan

KUALA LUMPUR 29 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mendedahkan laporan 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan kepada orang awam sejajar dengan matlamat asal penubuhannya sebelum ini.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan PH mengklasifikasikan laporan 100 hari daripada Majlis Penasihat Kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dilihat sebagai penyalahgunaan undang-undang dan mengkhianati kepercayaan orang awam.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, tindakan tersebut turut bercanggah dengan janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu untuk memansuhkan OSA.

“Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram mencadangkan supaya laporan itu dibuat secara terbuka.

“Laporan ini penting untuk semua rakyat dan akan mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Rakyat dimaklumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan adalah untuk membantu kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi dan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic menambah, penjelasan yang dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang laporan itu perlu dilindungi sama sekali tidak boleh diterima.

Katanya, hal itu kerana laporan tersebut dipercayai tidak mengandungi sebarang strategi mengenai keselamatan dan ketenteraan negara.

“PH telah berjanji untuk menjadi kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan telus berbanding kerajaan terdahulu tetapi sayangnya kepemimpinan PH terus gagal berkhidmat dengan baik terhadap rakyat.

“Kita berharap PH mempertimbangkan semula keputusan meletakkan laporan 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan di bawah OSA dan mendedahkannya kepada orang awam secara terbuka,” katanya. 

Source: https://goo.gl/4sRKEp

 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan