Hukuman mati paling berkesan - Dominic

KUALA LUMPUR 13 Mac - Keputusan kerajaan untuk mengekalkan hukuman mati tetapi sebaliknya menghapuskan hukuman mati mandatori adalah disambut baik dan bertepatan dengan pandangan hukuman tersebut merupakan alat paling berkesan bagi tujuan pencegahan.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya sejak dari awal menentang usaha untuk menghapuskan hukuman mati dan hakim seharusnya dibiarkan untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

"Kerajaan Pakatan Harapan bersedia mendengar pandangan Gerakan dan melihat isu ini berdasarkan pandangan mangsa, ini adalah permulaan yang baik.

“Seminggu selepas Gerakan mengadakan sidang akhbar mengenainya, kerajaan menyatakan keputusan dan ia sepatutnya dipuji.

"Kami gembira pandangan kami diberi perhatian dan sekali gus kami dapat memainkan peranan berkesan dalam melaksanakan semak dan imban kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu, hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah akan dimansuh dan digantikan dengan hukuman mati berdasarkan budi bicara mahkamah.

Dalam pada itu, Dominic berharap kerajaan PH dapat mengetepikan perbezaan politik dalam usaha merangka dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami berharap kerajaan PH dapat mengetepikan perbezaan politik dan memperhalusi dan pandangan pembangkang mengenai pelbagai dasar bagi merangka lebih banyak dasar yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Source: https://goo.gl/YpjfXW

Search

Calendar

Gerakan Matters

Top

Google+
Follow @partigerakan