Gesa kerajaan pastikan KLCP 2020 sejajar dengan Dasar Perumahan Negara 2.0

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kerajaan digesa memastikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020) sejajar dengan Dasar Perumahan Negara 2.0 yang dilancarkan pada awal bulan lalu.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara juga perlu memainkan peranan proaktif dalam pelaksanaan KLCP 2020.

Tegas beliau, harga rumah juga harus ditetapkan antara RM90,000 dan RM300,000 seperti digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

“KLCP 2020 penting sebagai pelan perintis dan `role model’ kepada negeri-negeri lain untuk diikuti, malah ia akan menjadi testimoni bagi aspirasi, komitmen dan keupayaan Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan masalah perumahan rakyat seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, meskipun beliau menyokong pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa nisbah plot bagi pembangunan bandar ditetapkan pada kadar 1:10 dibawah KLCP 2020, Dominic bagaimanapun menegaskan masalah sebenar adalah harga rumah yang semakin melambung tinggi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan menangani isu tersebut yang menjejaskan kebanyakkan penduduk bandar dan golongan pertengahan.

Jelas beliau, kawasan-kawasan luar bandar di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami kekurangan perumahan mampu dimiliki.

Katanya, antara faktor utama yang menyebabkan isu ketidakmampuan memiliki rumah adalah ketidaksepadanan antara harga rumah dan kemampuan rakyat Malaysia, pertumbuhan harga rumah juga melebihi pendapatan isi rumah serta kadar gaji yang tidak berubah juga menjadikan situasi lebih teruk.

Menurut Dominic, berdasarkan data Bank Negara, harga rumah meningkat sebanyak 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat pada kadar 8.3 peratus antara tahun 2007 dan 2016.

“KLCP 2020 tidak membawa erti yang besar jika rakyat terus menderita dengan ketidakmampuan memiliki rumah, sementara kerajaan gagal menangani masalah perumahan di bandar.

“Banyak dasar yang dibawa oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah mesra pemaju untuk menjual rumah pada harga yang tinggi dan bukannya menurunkan harga perumahan, ramai yang kecewa,” katanya.

 

Source: https://goo.gl/mN77my

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan