Bina sejuta rumah mampu milik: satu lagi janji populis PH

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Gerakan menyifatkan pengumuman kerajaan akan membina sejuta unit rumah mampu milik dan kos rendah dalam tempoh 10 tahun sebagai satu lagi pembohongan dan janji populis Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berkuasa.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap jaminan tersebut, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dilihat sebagai tawaran yang terlalu baik untuk menjadi kenyataan kerana jumlah itu pernah dipertikaikan pemimpin PH itu sendiri ketika menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Malah, di negeri-negeri PH seperti Pulau Pinang hanya mampu melengkapkan fasa pertama projek Bandar Cassia di Batu Kawan (projek perumahan mampu milik pertama) dengan jumlah kira-kira 11,200 unit dibina sehingga tahun 2017, manakala di Selangor pula Skim Rumah Selangorku yang dilancarkan pada 2014 menyaksikan 11 projek terdiri daripada 2,820 unit rumah siap dibina menjelang 2017 berbanding 140 projek dilancarkan.

“Apa yang lebih memburukkan adalah Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal membina walaupun seunit rumah kos rendah dari tahun 2008, iaitu dua tahun selepas PH menerajui negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan PH akan membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah murah dalam masa 10 tahun.

Mengulas lanjut, Dominic memberitahu contoh sedemikian menunjukkan pembinaan rumah bukanlah tugas mudah kerana memerlukan perancangan terperinci dan masa bagi mengurus kertas kerja selain mendapatkan kelulusan.

“Malah, PH sebagai kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor pada dekad yang lalu, juga gagal menunaikan apa dijanjikan kepada rakyat apatah lagi menjanjikan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

“Perkiraan mudah, jika kerajaan mahu membina sejuta unit rumah dalam tempoh 10 tahun bermakna sekurang-kurangnya 100,000 unit harus siap dibina setiap tahun yang disifatkan tidak realistik dan populis,” katanya.

Tambah Dominic, pada 2017, pemimpin PKR, Wong Chen juga pernah memberitahu bahawa tidak ada cara lain untuk membina rumah mencukupi bagi memenuhi jumlah individu yang memerlukannya malah dakwanya negara berkuasa besar seperti China juga tidak mampu membina 100,000 unit rumah setiap tahun.

Jelas beliau, Chen juga pernah menegaskan bahawa pemaju tidak bekerja untuk tujuan amal sebaliknya berunsurkan keuntungan.

“Beliau berkata tiada sebab untuk membina sejuta unit rumah mampu milik yang hanya akan membanjiri pasaran sekiranya terdapat banyak rumah mampu milik tidak terjual.

“Jadi sepertimana ditegaskan oleh pemimpin PH sebelum ini, adalah baik kerajaan memperuntukkan lebih banyak sumber dalam kenaikan gaji kerana jika gaji ditingkatkan di seluruh negara, kesannya akan menjadi lebih meluas berbanding hanya segelintir bertuah dapat membeli sebuah rumah,” katanya. 

Source: https://goo.gl/8x9GYn

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan