UEC: PH perlu sambung perjuangan Gerakan

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan terus menjadi agenda parti Gerakan dan mereka berharap, kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam perjuangan tersebut.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika kerajaan jujur mahu melaksanakan janjinya untuk mengiktiraf UEC, mereka sepatutnya mengikut langkah Gerakan yang sejak dahulu memperjuangkan isu tersebut.

“Gerakan mengambil inisiatif menjemput organisasi ‘kiri Melayu’ yang meragui pengiktirafan UEC untuk berdialog selain mengatur lawatan tapak ke sekolah persendirian Cina untuk melihat sendiri kaedah pengajarannya.

“Saya juga mencadangkan kerajaan membawa mereka yang menentang pengiktirafan UEC untuk berdialog dengan Dong Zong. Saya fikir itu kaedah terbaik bagi membolehkan organisasi Melayu itu menghapuskan keraguan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dominic turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang melihat isu UEC sebagai isu kebangsaan, bukan perkauman.

Kata beliau, ketika Gerakan masih sebahagian daripada Barisan Nasional (BN), beliau pernah meminta Annuar yang ketika itu merupakan Ketua Penerangan UMNO untuk menemu bual Dong Zong dan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah persendirian Cina supaya beliau lebih memahami isu tersebut.

“Usaha Gerakan untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC tidak boleh dinafikan. Sama ada ketika berada dalam kerajaan dahulu ataupun sekarang sebagai parti politik bebas, Gerakan tidak pernah berputus asa dan akan terus memperjuangkan agenda ini,” katanya.

Source: https://goo.gl/AXMa8H

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan