Iktiraf UEC: Kit Siang jangan beri harapan palsu

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan bagaimana veteran DAP, Lim Kit Siang boleh memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Ini kerana, Kit Siang tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam PH dan beliau tidak seharusnya memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Jelas Dominic, sekiranya Kit Siang benar-benar komited mengiktiraf UEC beliau seharusnya menunjukkan keikhlasannya secara praktikal dan bukannya sekadar memberikan janji-janji palsu.

“Walaupun Kit Siang merupakan pemimpin politik yang berpengalaman namun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

“Bagaimana beliau boleh mewakili kerajaan untuk memberi jaminan bahawa UEC akan diiktiraf sebelum pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang memberitahu beliau optimis bahawa UEC akan diiktiraf sepenuhnya oleh PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambah Dominic, pemimpin DAP itu juga tidak seharusnya memberikan janji-janji kosong sebaliknya perlu membuktikan DAP ikhlas dan komited mengiktiraf UEC.

“Saya mencadangkan agar beliau dapat mencontohi usaha-usaha Gerakan antaranya mengadakan sesi dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sebelum ini tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC.

“Di samping itu, Kit Siang juga boleh menjadi pengantara bagi sesi dialog di antara NGO Melayu dengan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) untuk menghilangkan keraguan mereka mengenai UEC,” katanya.

Jelasnya lagi, penasihat DAP itu perlu menyatakan kebenaran bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai hasrat mengiktiraf UEC

dengan cara meminta beliau campur tangan dan menyertai sesi dialog tersebut.

“Jika kerajaan PH benar-benar komited mengiktiraf UEC tidak sukar untuk mengatur pertemuan di antara Perdana Menteri dengan NGO Melayu bagi menghapuskan keraguan mereka,” katanya.

Source: https://goo.gl/6GDuVQ

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan