Hentikan kenyataan berbaur perkauman – Gerakan

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap MCA dan Gerakan membuktikan bahawa masih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak sedar diri.

Kekecewaan itu dinyatakan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang menyifatkan kenyataan beliau berbaur perkauman sekali gus menjadi punca terhadap kekalahan parti komponen BN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Saya ingin mengingatkan Mohd. Puad bahawa Gerakan bukan berada di bawah BN. Oleh itu, atas kapasiti apa beliau boleh memberi arahan kepada kami supaya berbuat demikian? Ini adalah sebuah negara demokrasi yang memberi hak untuk memilih kepada semua. 

“Kekalahan yang dialami oleh BN semasa PRU-14  kerana semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India bertindak menolak BN kerana mereka sudah bosan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang sering mengunakan isu perkauman bagi meraih undi. 

“Rakyat kini lebih berminat tentang isu ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau mengulas mengenai kenyataan Mohd. Puad yang mengatakan bahawa  MCA dan Gerakan harus memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan dan jangan bersikap terlalu besar kepala. 

Mengulas lanjut, Dominic memberi peringatan kepada semua pemimpin BN agar menghentikan segera sebarang kenyataan perkauman kerana boleh menambahkan kebencian rakyat terhadap mereka. 

“Jika Puad betul-betul berpendapat dengan membuat kenyataan yang berbaur perkauman ini boleh mendatangkan undi dan kemenangan, beliau tidak akan kalah pada PRU-13 dan BN masih gagal memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU-14 meskipun  kawasan itu adalah kerusi majoriti Melayu,” jelasnya.

 

Source: https://goo.gl/FyDvpq

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan