Gerakan cadang perluas mySalam kepada M40

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) sewajarnya diperluaskan kepada kumpulan berpendapatan pertengahan M40 berikutan kelompok berkenaan turut tidak berkemampuan dari segi kewangan sekiranya menghidap penyakit-penyakit kritikal.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, langkah ini sejajar dengan sasaran parti untuk membina sebuah masyarakat yang dapat menikmati hak sama rata dan mengutamakan mereka yang lebih memerlukan, bukan sekadar untuk golongan berpendapatan rendah B40.

Katanya, golongan M40 juga memerlukan bantuan berikutan mengalami masalah wang simpanan yang tidak mencukupi.

“Sebagaimana Kementerian Kewangan ada menyatakan pada 2017, sebanyak 94 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi tempoh enam bulan jika kehilangan pekerjaan. Mereka yang terjejas termasuk golongan B40, M40 dan sebahagian golongan berpendapatan tinggi T20 juga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) dengan menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma.

Dr. Mahathir berkata, skim yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) itu dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat yang berumur 18 hingga 55 tahun.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Tambah Dominic, simpanan golongan kelas pertengahan yang sedikit tidak mencukupi untuk menampung skim insurans yang melindungi penyakit-penyakit kronik.

Tambahan, katanya, bil-bil perubatan juga kian meningkat pada waktu ini.

“Oleh itu, adalah mustahak untuk kerajaan mempertimbangkan untuk memperkembangkan pelaksanaan skim insurans mySalam kepada kumpulan M40 juga,” ujarnya.

Source: https://goo.gl/pH2ATD

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan