Turunkan segera harga petrol, usah biar rakyat terus beri subsidi kepada kerajaan

PULAU PINANG 24 Dis. - Parti Gerakan mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menurunkan harga petrol RON 95 sekurang-kurang kepada harga RM1.90 seliter selari dengan penurunan harga minyak dunia.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, langkah membiarkan rakyat terus memberi subsidi kepada dengan membayar RM2.20 seliter bagi bahan bakar itu jelas bertentangan dengan janji PH selama ini.

 

Sementelah, menurut beliau, sebahagian besar pengguna RON 95 adalah kumpulan B40 yang kini terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang turur gagal diatasi kerajaan.

“Sudah semestinya penurunan harga petrol RON 95, 97 dan diesel itu mampu memberi sedikit ruang untuk rakyat bernafas dengan lebih lega di sebalik tekanan ekonomi ketika ini.

“Lebih daripada itu, penurunan harga petrol itu juga selari dengan janji-janji PH selama ini dan mereka tidak boleh memberi pelbagai alasan lagi memandangkan harga minyak dunia semakin rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, rakyat masih ingat dengan jelas janji PH untuk menurunkan harga petrol kepada sehingga RM1.50 ketika pilihan raya umum dan menagihnya untuk dilaksanakan segera.

Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya menambah kekecewaan rakyat yang memberi kepercayaan kepada PH selepas mereka turut tertipu dengan pelbagai janji lain seperti pemansuhan tol dan sebagainya. - UTUSAN ONLINE

 

Source: https://goo.gl/Fe42ZN

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan