Ketua Pemuda, Wanita Gerakan baharu mahu menangi hati golongan muda

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Ketua Pemuda Gerakan yang baharu, Ooi Zhi Yi berazam mahu menyemai budaya politik positif ke dalam parti itu bagi memenangi hati golongan muda.

Zhi Yi, 34, berkata, ini kerana pihaknya melihat banyak politik negatif digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan ia tidak sesuai diamalkan di negara ini.

Jelasnya yang juga ahli perniagaan dari Pulau Pinang, ancaman politik dengan menggunakan bahasa kesat merupakan satu contoh budaya politik negatif yang perlu ditolak.

“Dari Pemuda Gerakan, kami ingin memupuk budaya positif dan kita mesti fokus isu penting dan isu nasional.

“Keduanya, Pemuda Gerakan mahu berperanan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai fakta yang tidak benar dan mengelirukan rakyat yang dibawa oleh Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Persidangan itu dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan dari 150 bahagian Gerakan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan baharu, Janice Wong, 43, berkata, pihaknya mahu menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai parti.

Katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, kini, parti memiliki banyak platform untuk golongan berkenaan termasuk menerusi media sosial.

“Saya fikir, sekarang merupakan tempoh yang mencabar kerana faktor pengaruh golongan muda.

“Sekarang, kami telah menukar pendekatan yang lebih menumpu kepada golongan muda,” ujarnya.

 

Source: https://goo.gl/pHLWdX

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan