Tuduhan dihadapi Pengerusi BN sukarkan penjenamaan semula

KUALA LUMPUR: GERAKAN menyifatkan kes mahkamah yang dihadapi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ini akan menyukarkan usaha gabungan itu menstruktur dan menjenamakan semula parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng, berkata walaupun Ahmad Zahid baru dituduh di mahkamah, senario itu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada BN untuk meyakinkan rakyat dengan usaha menjenamakan semula parti berkenaan.
“Memang sangat nyata tuduhan yang dihadapi Pengerusi BN akan memberi impak kepada usaha penjenamaan semula BN. Tidak payah tuduhan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU–14) pun sudah tahu.
“(Pertuduhan Pengerusi BN di mahkamah) akan menimbulkan konflik terhadap usaha menjenamakan semula BN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat GERAKAN di Pudu, hari ini. Hadir sama, Naib Presiden GERAKAN, Datuk Asharuddin Ahmad.
Sabtu lalu, Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC (MIC) berkata BN akan distruktur dan dijenamakan semula bagi menguatkan kembali gabungan parti itu dalam usaha memenangi PRU akan datang.
Penstrukturan dan penjenamaan semula itu katanya membabitkan lima parti komponen BN, rakan parti dalam pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO).
Gerakan pembaharuan BN itu akan diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO baru-baru ini berdepan dengan 45 tuduhan di mahkamah membabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah.
Sementara itu, Teck Meng menegaskan GERAKAN tidak akan menyertai semula atau menjadi rakan mesra BN walaupun gabungan itu akan melakukan penstrukturan dan penjenamaan semula.
“Selepas BN tewas pada PRU-14, BN mengadakan mesyuarat dan ada cadangan yang mahu BN menstruktur dan menjenamakan semula.
“Tapi sudah berapa lama, sudah enam bulan tidak nampak apa-apa tindakan pun. Saya rasa rakyat hari ini hendak tengok tindakan, bukan sekadar seruan.
“Mungkin Pengerusi BN masih baharu, tetapi kalau betul hendak buat pembaharuan rakyat hendak melihat parti yang lebih telus, bersih dan cekap,” katanya. 
 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan