Dominic Lau mahu tanding jawatan presiden Gerakan

Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dan mahu menyatukan parti itu berdepan cabaran yang dihadapi ketika ini.

Ia susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mah Siew Keong sebagai presiden parti itu pada September lalu.

Lau berkata dia membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu selepas menerima banyak galakan daripada akar umbi dan anggota veteran partinya, selain daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Cina.

"Bagi saya, presiden parti seterusnya perlu menggalas tanggungjawab besar kerana dia perlu memimpin parti pada masa yang sukar. Jika tidak sanggup berkorban, dia tidak dapat melakukan tugas itu dengan baik.

"Jika saya dipilih, saya akan menjadi menerajui parti sepenuh masa bagi menguruskan hal-hal parti," katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Lau mengakui kegagalan Gerakan dalam tiga pilihan raya umum (PRU) yang lalu namun menegaskan bahawa Gerakan perlu mengatasi kelemahan dan terus berjuang di masa depan.

Ketika diminta mengulas lanjut, Laut berkata setakat ini dia tidak mempunyai pencabar bagi jawatan itu namun mengalu-alukan sebarang pemimpin berkebolehan menyertai pemilihan parti.

Sementara itu, Lau menegaskan bahawa keutamaannya adalah menyatukan parti dengan mengukuhkan rasa kebersamaan dan kesedaran politik di kalangan anggota parti.

Gerakan kini merupakan parti politik yang tidak bersama dalam mana-mana gabungan selepas meninggalkan BN pada 23 Jun lalu.

Ketika ditanya kemungkinan menubuhkan gabungan baru, Lau menegaskan pengukuhan parti kini lebih utama berbanding menubuhkan gabungan baru.

"Kita tidak tahu apa akan jadi di masa depan. Jika kita ingin bekerjasama dengan parti politik lain, perkara pertama yang perlu kita tanya adalah 'kenapa saya perlu bekerja dengan anda?' Maka soalan itu akan mengingatkan kita sama ada kita tidak cukup kuat.

"Jadi sebab itu penubuhan gabungan baru merupakan perkara kedua, tidak begitu penting ketika ini. Kita tidak tahu apa akan jadi dalam lima tahun akan datang," katanya.

 

Source: https://goo.gl/kozQdH

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan