Gerakan masih relevan, lebih ramai masuk dari keluar parti – Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Kekalahan teruk parti Gerakan sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan ahli termasuk pemimpin tertinggi bertindak keluar parti selain menyertai kumpulan lain adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, walaupun ada sedikit kebenaran tentang beberapa ‘kerat’ yang telah meninggalkan parti itu namun hakikatnya lebih ramai yang tampil menyertai Gerakan sejak beberapa bulan lepas.

“Yang masuk menyertai Gerakan selepas PRU-14 adalah jauh lebih ramai daripada segelintir kecil yang tinggalkan parti ini ketika keadaan memerlukan sebenarnya. Ini bukan sekadar omong kosong sebaliknya anda sendiri lihat masih lagi ramai berpusu-pusu mahu bertanding dalam parti.

“Cerita yang anda semua dengar sebenarnya adalah tidak benar, saya diberitahu borang penyertaan untuk menyertai parti ini semakin meningkat, hakikatnya ramai lagi di luar sana yang ikhlas berjuang atas nama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan tentang masa depan Gerakan selepas kekalahan teruk parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekaligus gagal menjadi kerajaan.

Pada PRU14, Gerakan kalah kesemua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Gerakan yang telah menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baharu pada penghujung November ini.

Jelas Siew Keong, pihaknya secara terbuka menerima kehendak rakyat yang sememangnya mahu menukar kerajaan untuk masa depan yang lebih baik.

“Kita terima mandat oleh rakyat yang mahukan perubahan. Kita sejak awal lagi telah beekrja keras seboleh mungkin ketika masih memegang tampuk kuasa.

“Kita bekerja keras bukan menjelangnya PRU sahaja malah Datuk Dominic Lau sudah bekerja sejak beberapa tahun sebelum ini. Malah calon lain juga siang malam bekerja keras dan cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Tetapi apakan daya kita, kali ini gelombang penolakan serta perubahan jauh lebih kuat. Rakyat mahu ubah kerajaan dan lihat perubahan yang bakal dibawa oleh mereka. Tidak salah langsung. Kita terima dan kita akan teruskan perjuangkan kebajikan untuk rakyat.

“Realitinya, Gerakan sentiasa fokus dalam memberikan yang terbaik seboleh mungkin kepada rakyat jelata. Kita akan teruskan perjuangan ini, kita ada masa beberapa tahun akan datang untuk perbetulkan apa yang patut,” tegasnya. – Malaysia Gazette

 

Source : https://goo.gl/nocZyA

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan