Gerakan akan dipimpin muka baharu

IPOH - Pemilihan pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan yang akan berlangsung pada 17 November ini menyaksikan parti itu dipimpin barisan muka baharu.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden kanan adalah antara 23 jawatan akan dipertandingkan pada pemilihan itu nanti.

“Saya yakin mereka yang bakal mengisi jawatan ini berkemampuan untuk mengambil alih kepimpinan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Perak 2018 di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan supaya pemilihan itu nanti diadakan secara sihat tanpa ada serangan peribadi antara calon yang bertanding dan menurutnya Gerakan kini mempunyai kira-kira 300,000 anggota di seluruh negara.

Siew Keong berkata, Gerakan sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan tempoh lantikan setiap pengerusi bahagian parti dan perkara itu akan diusulkan pada persidangan perwakilan kebangsaan itu nanti.

“Kami bercadang mengehadkan jawatan pengerusi bahagian kepada tiga penggal. Satu penggal adalah bagi tempoh tiga tahun. Terdapat banyak pengerusi bahagian yang telah memegang jawatan selama 20 tahun. Mereka semua bagus.

“Mereka telah menyumbang kepada parti tetapi saya fikir dalam situasi politik baru masa kini, sebaiknya dihadkan penggal bagi membolehkan semua orang memainkan peranan dalam parti. Perubahan ini bagi memperkukuhkan parti,” katanya. - Bernama

 

Source: https://goo.gl/WXD3Kw

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan